Semoga nukilan yang terhasil ini lahir daripada pimpinan Ilahi dan semoga ianya membawa getaran kepada hati yang membacanya agar kembali kepada fitrah
Monday, June 25, 2012
Sapaan hikmah dari bakal khalifah
Thursday, April 26, 2012
Selidik betul2 dulu!
Wednesday, February 29, 2012
Penyaksian kebenaran
Telah berkata Nabi Isa A.S ketika dia merasakan keingkaran Bani Israel: ''Siapakah yang akan menjadi penolong ku (untuk menegakkan agama) Allah?''
"Kamilah penolong (agama) Allah. Kami beriman kepada Allah, dan saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang muslim (tunduk patuh)'' Jawab para Hawariyyun (sahabat setia Nabi Isa A.S)
''Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang Engkau turunkan dan kami mengikuti Rasul, kerana itu tetapkanlah kami bersama golongan orang yang memberikan kesaksikan''
Surah Al-Imran: ayat 52-53
Petikan dialog dari mushaf suci ini membugarkan keheningan waktu akhir malam yang mendekati Subuh. Entah kenapa, fikiran saya melakarkan dialog yang serupa dihadapkan kepada saya dan sahabat-sahabat...tetapi kali ini oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Pandangan mata terus kabur kerana genangan air di kelopak mata dan getaran yang semakin memuncak di dada.
Apakah lidah ini akan mengalunkan kata-kata yang serupa dengan para Hawariyyun di atas? Ataukah akan membungkam sepi kerana tidak mampu berdepan dengan RasulNya dan memberikan kesaksian?
Lalu untuk apa saya menggelarkan diri sebagai umat Muhammad, sedangkan ummat Muhammad itu adalah 'ummatan wasata'- umat pertengahan, umat yang adil, umat yang menyambungkan risalah NabiNya, umat yang menjadi saksi kepada seluruh manusia lain...dan Nabi Muhammad SAW sendiri menjadi saksi ke atas perbuatan kami selaku penyaksi kebenaran.

Ya Allah, layakkah aku menggelarkan diriku penolong agamaMu?
Adakah aku menyeru manusia semata-mata kepadaMu ataukah terselit perasaan lain yang tidak kusedari?
Ya Allah, layakkan aku memberikan kesaksian di hadapan RasulMu?
2 baris ayat ini saya ulang-ulang, daripada bacaan di dalam hati sehinggalah dapat didengari oleh kedua-dua belah telinga. Sungguh Al-Quran ini mukjizat agung yang mampu menerbangkan roh ke satu alam penuh keajaiban, penuh kecintaan dan keasyikan. Rupanya inilah mihrab cinta para pejuang dan para sahabat Nabi yang telah memberikan kesaksikan dengan penuh bulat dan teguh. Fahamlah saya kini, meskipun mereka dipenjara atau disiksa, kesakitan pada jasad itu tidak menggoyahkan iman mereka kerana roh mereka bebas dan sedang menikmati keasyikan yang tidak terkata!
Allah! Ya Allah! Aku bersyukur kerana aku mengenaliMu, kerana aku mengenali RasulMu! Aku bersyukur kerana hari ini aku dapat membaca kalimahMu dengan lidah dan hatiku
Dan hari ini aku merasakan kebebasan pada roh dan jiwaku...
Ya Allah, aku ini hambaMu yang lemah, yang hina, yang masih berlumuran dosa dan khilaf Namun aku hadapkan diriku kepadamu...pilihlah Aku untuk menjadi penolong agamaMu...
Ya Rasululllah, aku ini pengikutmu, masih terlalu banyak pesanmu tidak aku ikuti.. Namun aku ingin bersamamu menjadi penolong agama Allah, maka saksikanlah bahawa aku beriman kepada Allah dan RasulNya!
Doa Hawariyyun berbekas di hati, dan dengan sisa kekuatan yang ada saya membacanya lagi, tetapi kali ini bukanlah untuk mengulangi doa para Hawariyyun, sebaliknya merupakan doa saya sendiri kepada Allah SWT:
''Ya Tuhanku, aku beriman kepada apa yang Engkau turunkan dan aku berusaha sedayaku mengikuti RasulMu, kerana itu tetapkanlah aku bersama golongan orang yang memberikan kesaksikan''

Monday, February 6, 2012
Mata. Lensa. Hati
Thursday, October 20, 2011
Bagaimana saya Muslim dari sudut Aqidah?
Dunia hari ini menyaksikan manusia-manusia seperti saya yang telah mengenal Allah, mengakui keesaanNya dan kekuasaanNya melangkah meninggalkan kepercayaan atau aqidah yang diyakininya ini dengan begitu tegar sekali. Lebih sedih, mereka-mereka ini meninggalkan Allah dan ketaatan untuk memberikan ketaatan kepada sesuatu yang lebih rendah dan sesat daripada jalan lurus dan mulia yang pernah dimilikinya. Gelaja murtad yang semakin meruncing ini tidak wajar dilihat sepicing mata, kerana siapa tahu esok lusa, kenalan atau darah daging sendiri boleh terjebak. Mengapa kita begitu risau sekali isu ini? Kerana Allah telah sebutkan tidak ada dosa2 yang tidak diampunkan kecuali syirik. Apalah nasib org2 murtad ini yang tidak dihiraukan nasibnya di akhirat nanti? Bukankah kita pernah menyayangi mereka sebagai salah seorang saudara seaqidah?

1) Beriman dan yakin bahawa pencipta alam sejagat ini ialah Allah yg Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan sesiapa
2) Beriman dan yakin bahawa Allah tidak mencipta alam ini secara sia2 atau main2 kerana sifat itu tidak layak bagi Allah SWT Yang Maha Sempurna
3) Beriman dan yakin bahawa Allah mengutuskan pada Rasul dan menurunkan kitab bg mengajarkan manusia mengenal Allah dan memberitahu mereka ttg tujuan kewujudan di dunia dan ke mana akhirnya penghidupan mereka
4) Beriman dan yakin bahawa matlamat hidup manusia ialah untuk mengenal Allah sebagaimana sifat2 Allah yg telah diterangkan, taat kpd Allah dan mengabdikan diri kpdnya
5) Beriman dan yakin bahawa syurga adalah balasan dan ganjaran bg mukmin yg taat dan neraka adalah balasan dan ganjaran siksaan bg org2 kafir
6) Beriman dan yakin bahawa manusia itu dpt dan boleh mencapai kebaikan atau kejahatan melalui daya usaha, ikhtiar dan kehendaknya, namun semuanya tidak dapat kecuali dengan taufiq & pertolongan Allah. Semuanya dlm lingkungan dan kehendak Allah
7) Beriman dan yakin bahawa pensyariatan undang2 adalah hak mutlak Allah, tidak boleh dilewati atau dilanggari
8) Mempelajari dan berusaha mengetahui nama2 dan sifat2 yang layak bg Allah
9) Berfikir ttg makhluk ciptaan Allah bukan ttg Dzat Allah sebagai tanda ketundukan
10) Mengenal sifat2 Allah dan kesempurnaan UluhiyahNya
11) Menyakini bahawa pendapat para salafussoleh lebih utama utk diikuti dlm menyelesaikan permasalahan yg berhubung dgn masalah ta'wil, pembekuan nas dan menyerahkan semuanya kpd ilmu dan pengetahuan Allah
12) Mengabdikan diri kpd Allah semata2, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu
13) Hendaklah takut semata2 kepada Allah dan tidak selainNya
14) Sentiasa mengingati Allah dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah
15) Mencintai Allah dgn kecintaan yg menyebabkan hati saya sentiasa merindui Allah dan sentiasa bergantung kpdNya
16) Bertawakkal kpd Allah dan bergantung kpdNya dalam semua perkara
17) Bersyukur kpd Allah atas nikmat dan kurniaanNya yang tiada terhingga
18) Meminta ampun dari Allah dan sentiasa bertaubat (istighfar) kerana itu merupakan kifarat bg segala kesalahan di samping memperbaharui taubat dan iman
19) Sentiasa dlm keadaan bermuraqabah (hubungan erat & merasakan pemerhatian Allah) baik dalam keadaan terang atau tersembunyi

Semoga Allah mengekalkan saya dan kita semua sebagai seorang Muslim dan kembali kpdNya dalam keadaan taat dan berserah.
Wednesday, October 5, 2011
Pemergiannya...adakah terselit sesalan?
Tuesday, October 4, 2011
sedetik diuji....

للَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لّا إِلَهَ إِلَّا أَنْت،
خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ،
وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْت،
أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْت،
أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ
عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي فَاغْفِر لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ
الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Sunday, September 25, 2011
Kesempurnaan akhlak antara didikan Syawal

Ramadhan yang telah berlalu mendidik erti kesabaran, ketundukan dan ketaatan, mujahadah melawan hawa nafsu serta mencanai keprihatian akan isu umat. Syawal pula membawa mesej kemenangan, kegembiraan dan kesyukuran terhadap semua nikmat yang dikecapi terutamanya nikmat iman dan Islam yang telah dimanifestasikan dengan penuh kesungguhan di sepanjang Ramadhan. Bicara Syawal biasanya dikaitkan dengan silaturrahim, dan ukhuwwah kerana kebiasaannya diraikan bersama seluruh ahli keluarga dan sahabat handai. Tidak asing juga dibicarakan tentang isu pembaziran serta adat keterlaluan masyarakat setempat menjelang Aidilfitri terutamanya menyentuh isu makanan serta tabiat makan berlebihan, perbelanjaan dan persiapan Aidilfitri yang berlebihan sehingga di luar kemampuan serta beberapa tradisi lain yang mengurangkan impak penghayatan terhadap didikan Syawal itu sendiri.
Telah bersabda Baginda yang mulia SAW:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” (HR: Malik, Ahmad dan Baihaqi)
Al-Quran juga telah berulang-kali menegaskan kenyataan Rasulullah SAW tersebut dalam beberapa ayat yang sudah terkenal dan disebut saban kali:
“Sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung” (Al-Qalam: 4)
“Dan sesungguhnya Rasulullah itu menjadi teladan yang baik untuk kamu dan untuk orang yang mengharapkan menemui Allah di hari kemudian dan yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzab: 21)
Jadi tidak ragu-ragu lagi, didikan akhlak merupakan didikan merentasi masa dan zaman yang senantiasa menjadi perhatian khusus Rasulullah SAW yang mulia, dan menjadi satu misi besar Baginda, juga seluruh umat Islam yang menjejaki langkah Baginda dan para sahabat. Syawal yang datang sejurus Ramadhan, dilihat sebagai satu bulan yang sebenarnya mendidik dan menuntut agar kita menitikberatkan kesempurnaan akhlak. Kalau semasa di bulan Ramadhan kita ibarat menyemai, mendidik diri dengan sikap sabar dan tabah menahan lapar dan dahaga, natijah daripada semaian ini seharusnya dapat dituai menjelang Syawal dengan konsistensi akhlak sabar dan ditambah lagi dengan kebaikan-kebaikan lain yang bercambah daripadanya. Kalau semasa di bulan Ramadhan kita dilatih keluar daripada kotak individualistik, serta prihatin dengan isu umat melalui pembayaran zakat, amalan bersedekah dan memberi makan orang berbuka, maka semasa Syawal harus kita suburkan dengan amalan menghormati serta memuliakan tetamu.
Menghormati serta memuliakan tetamu ini adalah satu akhlak yang sangat penting diwujudkan dalam diri individu muslim, tetapi seringkali diabaikan.
Rasulullah SAW pernah ditanya, “Apakah iman itu”? Maka baginda SAW menjawab: “Menghidangkan makanan dan mengucapkan salam”.
Hal ini tambah ditegaskan lagi oleh baginda SAW: “Tiada kebaikan bagi sesiapa yang tidak menerima tetamu”
Di sini jelas dilihat, menghormati serta memuliakan tetamu merupakan sebahagian tuntutan iman. Kalau kita susuri sirah Islam sendiri yang bermula dari Mekah dan bangsa Quraisy, dapat diperhatikan dan difahami mengapa bangsa Quraisy dipilih sebagai bangsa pendokong risalah bersama Nabi Muhammad SAW kerana meskipun di tengah kegelapan jahiliyah yang memekat, bangsa ini begitu cemerlang dengan akhlak terutamanya bila menerima dan meraikan tetamu. Tidakkah menjadi satu petunjuk yang jelas, bahawa akhlak yang satu ini amat besar pengiktibarannya di sisi Allah dan seharusnya menjadi perisai yang ampuh bagi umat Muslimin kerana meskipun bangkit bersama bangsa yang terkenal dengan akhlak ini, Rasulullah SAW masih berpesan dengan bersungguh-sungguh agar menghormati dan memuliakan tetamu!
Melihatkan rata-rata masyarakat Melayu hari ini, adakalanya kita merasa kesal dan sedih sekali apabila akhlak yang semudah ini diculaskan. Walhal bicara si tuan rumah penuh dengan intipati perjuangan, malah acapkali terdengar mengimpikan syahid dan terpilih dalam barisan dakwah tetapi apabila tetamu menyinggah, layanannya hambar dan penuh acuh tak acuh. Adakah kesibukan dakwah menculaskan baginda Rasulullah SAW dan para sahabat dari melayani tetamu? Tidak sama sekali! Tidakkah dibaca dalam kitab-kitab sirah betapa sahabat-sahabat menyembelih kambing, memasak dan meraikan tetamu dengan penuh kegembiraan meskipun mereka susah dan sangat berhajat untuk menyimpan harta buat diri dan keluarga sendiri? Belum cukupkah tergenang airmata membaca kisah sahabat yang menjamu tetamu dalam kesamaran cahaya agar dapat disangka si tuan rumah makan bersama semata-mata memuliakan tetamu!
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghormati tetamu, maka dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku, maka dia memuliakan Allah dan sesiapa memarahi tetamu, maka dia marah kepadaku dan sesiapa yang marah kepadaku, maka dia memarahi Allah”.
Begitulah penegasan demi penegasan disebut berhubung akhlak melayani dan menghormati tetamu ini. Tidak mungkin seseorang muslim sejati dikenal tidak melayani tetamu sekali mana banyak pun ibadah lainnya atau sepetah mana sekali pun bicaranya. Dari aspek akhlak yang kecil ini, dilihat dengan jelas seolah-olah satu kayu ukur sejauhmana tarbiyah itu terkesan di hati dan berjaya membentuk akhlak mulia dalam diri. Syawal menuntut dan mendidik kita semua agar menyempurnakan latihan akhlak yang dibentuk sepanjang Ramadhan lepas, terutamanya dalam menghormati dan melayani tetamu. Dengan menghormati dan melayani tetamu, kita dapat mendidik jiwa agar menyemai sifat ithar (mendahulukan orang lain berbanding kepentingan diri) serta menjadi seorang yang lebih berjiwa besar. Habuan yang diperoleh dalam mengejar kesempurnaan akhlak ini bukan sekadar di dunia tetapi mendapat jaminan yang pasti di akhirat kelak sebagaimana yang diriwayatkan Abu Sa’id, katanya:
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap orang Islam yang memberikan pakaian kepada orang Islam lain yang tidak berpakaian, maka Allah akan memberikannya pakaian daripada pakaian hijau di syurga; dan setiap orang Islam yang memberi makan orang Islam lain yang dalam keadaan lapar, maka Allah akan memberikannya makanan daripada buah-buahan dari syurga. Setiap orang Islam yang memberi minum kepada orang Islam lain, maka Allah akan memberikannya minum daripada minuman yang termeterai bekasnya”.
Semoga di bulan Syawal ini ingatan terhadap tarbiyah di sepanjang Ramadhan tidak luput, malah disempurnakan sehingga membawa kepada penjelmaan spontan atau dikenal juga sebagai ‘akhlak’ yang sebati dalam jiwa.
Rasulullah SAW telah berpesan “Iman bukanlah angan-angan, tetapi sesuatu yang terpatri dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan” (HR: Ad-Dailami)
Wednesday, August 24, 2011
Airmata di akhir Ramadhan...
Sungguh sebak di dada saya memikirkan detik Ramadhan hanya tinggal sebentar sahaja lagi. Ramadhan 1432H ini begitu sarat sekali dengan hadiah, kenangan, pengajaran dan kekuatan yang mengesani hati saya dan pastinya meninggalkan kesan yang begitu besar. Qiam bersama ahlul bait dan tazkirah seusai Subuh akhir-akhir ini terasa berbeza sekali dengan Qiam di awal minggu pertama Ramadhan dan pertengahannya....Allah! sudahkah terampun dosa-dosa kami di sepanjang Ramadhan ini? Cukupkah kami berusaha meraih redhaMu selama 24 hari ini? Adakah doa kami untuk menemuiMu, melihat wajahMu, bertemu RasulMu serta para sahabat dan pejuang agamaMu diterima dan dimakbulkan? Cukupkah usaha kami sedangkan selama ini kami banyak sekali menzalimi diri sendiri dan culas terhadap hak2Mu pada kami...
Allah....Allah....Allah!
Dalam rintihan sebegini, airmata tidak mampu diseka lagi, mengalir deras sekali. Beberapa wajah suci memandang dengan pandangan yang penuh tanda tanya. Sedihkah kakak ini? Mengapa menangis begitu sekali? Ada yang menghampiri memeluk erat dan bertanya mengapakah saya menangis, adakah ada kesedihan yang tidak dapat difahami? Saya tersenyum sambil menjawab, "Ramadhan dah hampir ke penghujung". Wajah suci mengerutkan dahi, tidak begitu mengerti atau perkaitannya dengan tangisan saya mungkin samar-samar. Ada juga yang bertanyakan saya, adakah saya merasa sedih mengenangkan sanak-saudara di Malaysia. Tersenyum juga saya, kerana bukan itu yang mengundang airmata dan gelora di hati...
Pulang ke rumah bertemu ahlul bait, rupa-rupanya hampir kesemua juga mengalami peristiwa yang sama. Mereka juga disapa wajah-wajah suci yang kehairanan dengan airmata yang mengalir deras dari kelopak mata mereka. Kami sama-sama tersenyum. Kerana dahulunya, kami juga merasa hairan melihat muslimah (terutama yang berbangsa Arab) menangis teresak-esak dalam tarawikh atau selepas berdoa. Namun kami mengerti kini, cinta dan rindu kepada hadiah Allah 'Ramadhan' ini telah hadir di hati. Maka, bukti kecintaan ini juga terzahir meskipun masih banyak lagi yang perlu diusahakan bagi meraih cinta ini.
Ramadhan 1432H merupakan Ramadhan yang begitu bermakna buat saya. Semoga ini bukan yang terakhir, kerana saya telah mula merindukannya....Semoga detik2 akhir Ramadhan yang bersisa ini dapat dioptimumkan sepenuhnya...
Sunday, August 7, 2011
Sungguh, saya jatuh cinta kepada Abu Bakr!

Sunday, July 31, 2011
Bidadari - bidadari syurga di bulan Ramadhan

Thursday, July 28, 2011
satu rindu yang tidak tertahan!

Airmata saya tidak mahu berhenti, Allah...bimbing saya, bantu saya...tunjukkan saya jalan yang lurus..kuatkan himmah saya! Saya ingin mencintaiMu Allah melebihi segala-galanya, saya juga ingin bertemu Rasulullah SAW, para sahabatnya, para pejuang yang telah mendahului saya....Izinkanlah dan perkenankanlah Ya Allah!
Allahumma balighna Ramadhan...
(Laila adalah pokok bunga saya, diambil nama bersempena seorang sahabiah di zaman Rasululah yang sering turut serta dalam peperangan merawat para pejuang yang sakit dan terluka...semoga Allah redha)
Thursday, July 21, 2011
Shaaban...andai ini yang terakhir ~












