(Buat ibu dan ayah yang dikasihi, serta adik2ku Mohd Syazrul Affendi, Martina Fatin Syuhaidah, Siti Nur Annissaa' Azzahraa', Mohd 'Izzat Zuhairi, Mohd Iqbal dan Mohd Fikri...)
Entry kali ini merupakan sebuah perkongsian daripada perjalanan kehidupan saya mengenali tarbiyah dan dakwah, semoga ianya menjadi muhasabah yang baik buat diri saya, serta inspirasi buat ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang dikasihi. Sesungguhnya perjalanan dakwah ini begitu panjang, permulaannya juga mungkin telah lama berlaku tanpa disedari...namun, seandainya ada keinginan yang kental dalam jiwa, pastilah Allah Yang Maha Pengasih akan memandu jalan kita. Redha serta rahmat Allah SWT buat semua duat yang ikhlas serta tidak pernah luntur dalam semangat juangnya.
Saya lahir dalam sebuah keluarga yang sederhana dari banyak segi, kekurangan juga dari banyak segi. Namun inilah tarbiyah (didikan) pertama dari Allah SWT. Pada asalnya, saya merasakan kekurangan dari aspek material merupakan kekurangan paling utama menyebabkan jiwa saya selalu diruntun perasaan hiba, sebak dan kesal. Maka tolakan dari dalam diri untuk merubah nasib keluarga telah muncul, sedari usia yang begitu kecil. Tolakan yang besar ini juga telah merubah nasib saya begitu hebat. Cita-cita tertinggi saya ketika itu adalah meraih kecemerlangan akademik agar seluruh mata terbuka, agar maruah keluarga dapat saya kembalikan serta kehormatan kedua ibu bapa dapat saya letakkan setinggi yang mampu.
Tolakan dalam diri yang begitu hebat ini telah menjadikan saya seorang yang cekal, tidak mudah berputus asa dan bersungguh-sungguh. Saya masih ingat di satu ketika kehidupan begitu menghimpit, di usia sekitar 9-10 tahun, saya telah dilatih oleh Allah SWT untuk bangun setiap 1/3 akhir malam membancuh susu adik yang baru berusia beberapa tahun, serta memastikan beberapa yang lain tidur dengan baik kerana ibu keluar mencari rezeki, dan ayah juga tidak tinggal bersama kami. Saya juga menyiapkan pakaian sekolah mereka dan kadang-kadang membantu mengemaskan beg sekolah. Kemudian saya akan bersolat meminta agar Allah membantu saya, dan memberikan saya kekuatan. Rupanya sedari kecil, saya pernah dilatih untuk bangun Qiam sebagai kekuatan pertama dalam diri. Sejurus solat, saya akan mengulangkaji pelajaran sehinggalah tiba Subuh, kemudian mengejutkan adik-adik untuk bersolat dan menyiapkan mereka untuk ke sekolah.
Saya merasakan sikap bertanggungjawab yang dididik secara tidak langsung ini telah menyebabkan saya dipilih sebagai ketua kelas (meskipun saya pelajar perempuan), kemudiannya sebagai seorang pengawas. Keadaan ini berterusan sehingga ke suatu ketika, ibu kadang-kadang lewat pulang (bas kilang rosak atau memang lewat dibenarkan pulang). Kebiasaannya, saya duduk bersama adik-adik di anjung rumah seorang nenek yang begitu baik hati (rumahnya di tepi jalan), menunggu ibu untuk menyerahkan adik yang masih kecil sebelum bertolak ke sekolah bersama 2 orang lagi adik. Bila ibu pulang lewat, saya seringkali tiba ke sekolah lewat, dan posisi sebagai seorang pengawas telah mencalar qudwah saya. Saya mula ditegur oleh guru-guru yang tidak mengetahui keadaan sebenar.
Namun ini tidak melemahkan semangat saya, rutin harian saya teruskan dan saya juga semakin gigih belajar. Saya masih ingat membawa adik-adik berjalan kaki ke pekan untuk membaca buku di perpustakaan (jarak pekan dari rumah saya tidak pasti tetapi jika berjalan kaki boleh memakan masa sekitar 45 min ke 1 jam). Inilah riadhah mingguan saya, dan inilah mujahadah awal saya dalam perjuangan meraih kecemerlangan akademik. Adik-adik merupakan kekuatan buat saya, mendidik mereka agar cemerlang juga merupakan satu tolakan yang kuat, maka saya juga bersungguh-sungguh memberikan mereka motivasi dan kekuatan. Alhamdulillah, Allah telah melapangkan jalan saya dan memberikan saya kejayaan demi kejayaan dari segi akademik, juga dari aspek kokurikulum. Jutaan terima kasih saya ucapkan buat guru-guru yang telah memberikan inspirasi, terutamanya guru bahasa Inggeris, merangkap guru kelas yang juga merupakan jurulatih catur saya. Beliau pada saya, bukan sekadar seorang guru dan jurulatih yang telah membawa saya ke persada kebangsaan, tetapi juga seorang bapa yang telah memberikan inspirasi serta kekuatan. Meraih kejohanan serta menyertai pasukan catur Melaka merupakan satu kejayaan besar bagi saya, terutama sekali kerana saya berasal dari 'sekolah kampung' yang jarang sekali melepasi peringkat sekolah mahupun daerah dalam mana-mana pertandingan. Kejayaan ini memberikan saya keyakinan bahawa tidak ada apa pun rintangan atau kesusahan yang tidak mampu saya lalui, dan saya semakin percaya dengan kemampuan diri.
Di sekolah, satu perasaan aneh seringkali menyelaputi hati saya setiap kali melihat sahabat-sahabat yang begitu jauh ketinggalan dalam pelajaran. Saya merasa hiba buat mereka, kerana rata-rata mereka datang dari keluarga yang susah, ibu dan bapa bergolok gadai untuk menyiapkan keperluan mereka serta membiayai pengajian mereka. Seandainya mereka tidak berjaya, maka alangkah hampanya. Maka, saya mula mendekati beberapa orang di antara mereka, dan membantu mereka sekadar kemampuan. Saya amat gembira apabila satu ketika, guru besar baru tiba dan memperkenalkan sistem 'buddy'. Pelajar-pelajar yang cemerlang dipasangkan dengan yang kurang cemerlang untuk membantu mereka. Saya masih ingat akan sahabat yang dipasangkan bersama saya dan usaha kami untuk sama-sama menjadi lebih baik dalam subjek Matematik. Saya juga masih ingat beberapa teman akrab yang kadangkala saya ziarah mereka, dan sama-sama membantu berkongsi sebarang kelebihan ilmu yang saya kuasai. Saya masih ingat juga ikrar saya pada diri, untuk mewujudkan satu khidmat tuisyen percuma kepada anak-anak di kampung saya apabila saya telah ke sekolah menengah nanti. Rupa-rupanya inilah langkah awal saya dalam dakwah ini. Keinginan yang kuat untuk membawa bersama sahabat-sahabat kepada kecemerlangan akademik adakalanya memakan masa saya, kerana saya terpaksa berjalan kaki merentasi kampung berlainan (jarak yang jauh) semata-mata untuk bertemu mereka dan membantu pada kadar yang mampu.
Tarbiyah Allah terus-menerus buat saya. Di rumah saya membantu menguruskan rumah, memasak untuk ahli keluarga (kerana ibu kepenatan setelah berjaga malam kerja) dan membantu adik-adik menyiapkan kerja-kerja sekolah. Saya belajar mengatur masa dan menjadi seorang yang semakin baik dalam menyusun kehidupan melalui pengalaman ini. Pengalaman berdikari juga terlalu banyak termasuk melakukan usaha-usaha mengumpul duit dengan bakat yang ada. Saya masih ingat melukis anak patung kertas dan menjualnya, dan beberapa usaha lain. Kemewahan material sememangnya tidak pernah hadir dalam kamus kehidupan saya, namun inilah juga satu tarbiyah terkuat daripada Allah SWT. Di kemuncak kehidupan saya di sekolah rendah, Allah SWT telah menganugerahkan saya kecemerlangan akademik, di mana saya meraih keputusan yang begitu baik, dan mendapat anugerah di peringkat negeri juga (setahun kemudiannya). Saya juga dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik serta mendapat anugerah kecemerlangan akademik di sekolah. Allah SWT juga telah mentaqdirkan rakan-rakan akrab saya mendapat kejayaan yang sama, betapa gembiranya saya dengan kejayaan besar ini. Kehidupan di sekolah berasrama penuh telah menjadi satu impian dan angan-angan yang terbentang luas di hadapan mata saya.
Namun, sekali lagi Allah SWT telah mentarbiyah saya. Sahabat akrab saya telah dipilih masuk ke MRSM, begitu juga dengan beberapa yang lain. Namun saya tidak menerima sebarang berita, sekadar khabar-khabar angin. Akhirnya, saya telah mendaftar di sebuah sekolah menengah harian di pekan. Saya begitu kecewa, adakah kerana status kehidupan saya maka tidak layak dan tidak terpilih? Namun akhirnya saya menyedari hikmat terbesar ketentuan Allah ini adalah untuk terus-menerus mendidik saya di samping keperluan untuk saya terus berbakti kepada keluarga. Alhamdulillah, di sekolah harian tersebut, saya dimasukkan ke kelas rancangan khas pertama, yang mengumpulkan saya dengan beberapa lagi pelajar-pelajar yang turut mendapat keputusan yang baik, cuma tidak bernasib baik atau memang memilih untuk tidak ke asrama penuh. Kehidupan baru bermula sebagai seorang remaja. Rintangan dan perjalanan kehidupan kali ini begitu berbeza, dengan pelbagai rencah baru kehidupan. Saya belajar tentang realiti kehidupan di sini, di mana remaja masing-masing mula mencari 'kelompok' atau geng tersendiri, mencari identiti diri dan mula juga terlibat dengan alam percintaan. Apa pun yang saya lalui, fokus saya masih sama, malah setiap hari saya berazam menebus kembali apa yang saya sifatkan sebagai 'kekalahan' kerana gagal menempatkan diri di sekolah berasrama penuh. Yang pasti juga, tekanan di aspek peribadi (keluarga) dan di aspek kehidupan di sekolah menengah semakin bertambah. Saya mula ingin mencari jalan keluar daripada seluruh keserabutan ini....Saya mula berfikir, apakah kejayaan sebenar yang saya ingin capai, dan apakah dia yang dapat melengkapkan kekurangan di hati saya?
Jawapan kepada persoalan ini semakin jelas apabila saya akhirnya dipilih oleh Allah SWT untuk memasuki MRSM. Namun, fikiran saya telah tercetus lebih awal lagi, saya mencari-cari jawapan kepada persoalan hati, dan dengan melihat kepada keadaan keliling, saya mencari-cari jawapan kepada persoalan ini. Pernah di satu ketika, saya melihat pelajar-pelajar perempuan sekolah agama di stesen bas, bertudung litup dan begitu baik sekali akhlak mereka (mujurlah Allah tunjukkan qudwah yang baik, kerana saya terjumpa juga yang sebaliknya selepas itu). Hati saya terus terdetik 'Ya Allah, aku ingin jadi seperti mereka'. Detikan ini seolah-olah dipalu-palu di hati saya sehinggakan saya melintasi jalan ke sebuah kedai kain berdekatan, dan mengeluarkan satu-satunya duit yang saya ada untuk tambang bas dan belanja sekolah untuk membeli sehelai kain ela putih bidang 60 (kata tauke Cina yang menjual setelah saya tunjukkan ke arah pelajar-pelajar perempuan tadi, dan memberitahunya yang saya mahu membeli kain untuk buat tudung serupa itu). Saya pulang berjalan kaki kerana tidak lagi memiliki duit untuk tambang bas, namun hati saya penuh dengan kepuasan kerana saya telah menemukan satu jalan awal untuk perjalanan yang rupa-rupanya begitu panjang ini. Inilah leraian jahiliyah serta langkah pertama saya ke arah tarbiyah dan dakwah. Setiap hari juga saya berdoa dengan doa yang sama, saya benar-benar ingin menjadi seorang yang baik.
MRSM Jasin merupakan satu hadiah daripada Allah SWT buat saya. Di sana saya temui seorang lagi sahabat karib, juga rakan sebilik saya yang merupakan bekas pelajar sekolah agama. Pada saya, sahabat ini memainkan peranan besar dalam membawa saya kepada tarbiyah dan dakwah. Biah yang begitu hebat di MRSM ini telah mengejutkan saya. Keserabutan di sekolah harian yang menyesakkan dada saya serta-merta digantikan dengan sebuah biah soleh. Di sini kami diajar untuk menundukkan pandangan, memelihara aurat, saling menyebarkan salam, menjaga malah berdisiplin dan beriltizam dengan ibadah kepada Allah SWT. Motto kami juga adalah 'kecemerlangan berkadar terus dengan amal'. Saya tidak menemukan tempat yang lebih baik daripada ini, sehinggakan saya begitu keberatan untuk pulang bermalam bila tiba masanya. Para warden yang merupakan para murabbi telah memainkan peranan yang amat besar (majoriti warden kami adalah para ustaz yang pada saya memiliki fikrah yang begitu mantap, serta telah menjadi faktor utama kepada biah soleh ini). Sistem usrah telah diperkenalkan kepada saya, dan saya benar-benar jatuh cinta kepadanya. Tudung labuh saya telah menjadi antara faktor saya dipilih dalam aktiviti-aktiviti dakwah, meskipun saya tidak punya apa-apa atau mengerti apa-apa tentang dakwah mahupun tarbiyah. Buku Maza Yakni kemudiannya merupakan buku kegemaran saya, dan saya menemui satu ketenangan yang sukar digambarkan..
Lembaran kehidupan saya rupanya telah beralih. Saya mula merasakan bahawa ada satu matlamat yang jauh lebih agung yang dapat mengangkat segala perasaan hiba, sedih dan sebak di hati saya setiap kali terkenangkan ibu, ayah dan adik-adik...Saya mula merasakan juga, bahawa matlamat ini akan membawa saya kepada kecemerlangan yang lebih hakiki. Saya terus berdoa, 'Ya Allah pilihlah aku, atas alasan apa sekali pun dan atas keadaan apa sekalipun, pilihlah aku' setiap hari sehinggakan saya merasakannya sebagai satu aktiviti automatik tanpa kawalan. Alhamdulillah, dengan limpah Rahmat dan kurniaNya, begitu banyak kebaikan menyinari kehidupan sepanjang perjalanan saya meniti zaman akhir remaja dan mengorak langkah baru ke alam dewasa. Jalan saya ke alam dewasa dan permulaan alam universiti tidak begitu mudah. Allah SWT terus menerus menguji saya, dan saya juga telah bangun dan jatuh beberapa kali sehinggalah taqdir Allah membawa saya ke bumi New Zealand ini. Penghijrahan yang besar ini telah membawa kesan yang besar dalam diri saya, kerana bumi Malaysia kini bagaikan dapat saya lihat keseluruhannya dari sebuah teleskop di kejauhan.
Saya tidak menyangka bahawa jawapan yang saya cari sejak kecil ini saya temui dengan penuh kejelasan di bumi asing ini. Alhamdulillah, di sinilah saya menemukan cinta hati saya yang sebenarnya, dan di sinilah fitrah saya telah kembali kepada asalnya. Sentuhan tarbiyah oleh para Murabbi telah melonjakkan tolakan dalaman yang begitu kuat. Pertemuan dengan jemaah qudwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), merupakan ketetapan Allah yang terbaik buat diri saya. Seluruh perasaan saya, tanda-tanda awal fitrah diri saya yang inginkan kepada petunjuk kepada jalan para Nabi dan sahabatnya ini telah bergabung di sini, kelihatan begitu cerah dan benderang sekali, tanpa sebarang ragu-ragu dan ketidakpastian lagi. Kini saya ingin bangkit, bukan sekadar ingin meraih kecemerlangan akademik bagi mengukir senyuman di bibir ibu dan ayah, tetapi saya ingin menjadi obor yang bakal menerangi kehidupan kita semua, bukan sahaja di dunia malah di akhirat nanti. Seluruh tenaga saya kali ini saya sandarkan kepada Allah SWT, dan saya letakkan sebagai satu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Maha Suci Allah, sesungguhnya perubahan besar ini tidak sekali-kali melemahkan saya di aspek akademik, malah semakin menguatkan saya. Saya bersaing dengan penuh keyakinan dan kesungguhan kerana menyakini bahawa belajar adalah sebahagian daripada dakwah serta ibadah kepada Allah SWT, dan akhirnya Allah SWT telah mempermudahkan perjalanan saya. Kejayaan demi kejayaan telah dianugerahkan, bukan untuk diri saya tetapi saya kira sebagai satu hadiah buat ahli keluarga dan dakwah ini sendiri. Kejayaan menempatkan diri sebagai salah seorang pelajar cemerlang di universiti dengan mendapat ijazah pertama dengan kepujian, juga dinobatkan sebagai 'The Best Speaker' di Otago Medical Research Society, saya soroti dengan sujud dan kesyukuran tidak terhingga. Saya masih ingat, hadiah berupa wang tunai sebanyak $500 dollar tersebut telah saya kirimkan buat keluarga dengan linangan airmata.
Saya kira perjalanan saya di bumi New Zealand ini cukup sekadar di sini, tetapi Allah SWT telah mentaqdirkan ketentuan yang lebih baik. Saya dianugerahkan biasiswa daripada Otago Universiti serta tajaan penyelidikan daripada New Zealand Neurological Foundation untuk menyambung pengajian di peringkat kedoktoran pula (phD). Jalan saya dimudahkan dengan begitu baik sekali, apabila saya turut menganggotai Health Research Council dan diberi peluang membentangkan hasil-hasil kajian saya di dalam dan luar negara. Perjalanan saya mengejar redha Allah ini semestinya tidak lari daripada ujian dan cabaran. Ada masa-masanya tuntutan serta cabaran akademik mencalarkan hati saya, kerana dakwah dan tarbiyah diri mula terkompromi. Sehinggakan membawa kepada beberapa fitnah kepada diri dan peristiwa-peristiwa menggiris hati. Namun saya menyedari inilah teguran daripada Allah SWT apabila saya mula menculaskan amanahNya. Amanah berat yang tergalas di bahu saya ini, adakalanya menyebabkan saya begitu takut dan sedih sekali. Airmata akan mengalir deras apabila saya merenung kelemahan serta kekerdilan diri, namun semangat-semangat yang ditiupkan daripada para murabbi dan akhawat seperjuangan yang sangat dikasihi telah menjadi tolakan dalaman yang kuat untuk saya terus bangkit, bangkit memperbaiki diri. Sungguh, saya tidak mahu terkeluar dari jalan ini setelah sekian lama saya mendambakannya. Doa saya kini adalah 'Ya Allah thabatkan langkahku di jalan ini'. Saya ingin menamatkan kehidupan saya dalam keadaan memegang erat obor perjuangan ini, namun saya sedar juga bahawa saya baru sahaja meniti titi terawal dalam perjalanan yang begitu panjang ini. Masih banyak lagi cabaran yang menanti di hadapan, dan tiada sebarang jaminan bahawa saya akan terus kekal di jalan ini.
Mengimbau kembali penglibatan saya bersama ISMA beberapa tahun ini, saya melihat perkembangan yang begitu baik di kalangan sahabat-sahabat saya, juga ahli keluarga saya, meskipun tidak saya nafikan ada duka yang tercoret di sebalik perkembangan positif ini. Sesungguhnya, Allah lah yang memegang hati-hati kita semua. Perjuangan ISMA mengesani masyarakat benar-benar sampai kepada ahli keluarga saya sendiri, meskipun masih di peringkat awal, menyebabkan saya bertambah kasih kepada seluruh jentera dan pejuang-pejuangnya (tanpa menafikan perjuangan gerakan Islam yang lain). Cuti musim panas yang lepas bila saya pulang ke tanahair, dan kembali bersama ahli keluarga, saya aturkan program tarbiyah secara tidak langsung bersama adik-adik lelaki saya (3 yang akhir). Saya melatih mereka solat berjemaah, bergilir-gilir menjadi imam dan memberikan perkongsian (tazkirah) serta beriadhah bersama mereka. Alangkah terkejutnya saya, adik lelaki saya yang baru berumur 13 tahun mengupas kekuatan Muhammad Al-Fateh menawan Constantinople dalam siri tazkirah pertamanya, dan adik saya yang berusia 12 tahun pula memberikan tazkirah berkaitan Kisah Hari Sabtu (daripada Surah Al-Baqarah) yang sedikit sebanyak mengupas aspek dakwah bila tiba gilirannya memberikan tazkirah. Adik bongsu berusia 9 tahun meskipun sekadar mendengar, saya kira telah mendapat juga pendedahan awal tarbiyah dan dakwah. Saya tanyakan dari mana mereka mendengar kisah-kisah ini kerana saya hanya belajar tentangnya setelah usia menginjak ke 20-an.
Adik saya (yang berusia 13 tahun itu) menjawab soalan saya dengan pertanyaan 'Along pernah dengar ISMA?'. Saya terkedu, hampir-hampir airmata menitik jatuh di depan mereka, beberapa kali saya minta adik mengulangi soalan itu. Adik saya kemudiannya menceritakan beberapa usaha yang dibuat oleh Al-Akh yang tidak asing buat saya, di sekolahnya (sekolah berasrama penuh). (Al-Akh merupakan pimpinan Kelab Remaja ISMA Melaka). Adik saya (12 tahun) pula terkesan dengan abangnya, dan banyak belajar serta mendengar daripadanya. Saya tidak pasti samada adik saya telah diserapkan ke sistem tarbiyah tersusun usrah, tetapi sekurang-kurangnya saya bersyukur bahawa pendedahan awal ini telah berlaku kepada mereka sebelum saya sendiri melaksanakan apa-apa. Apabila adik saya mengetahui bahawa saya adalah antara pimpinan ISMA New Zealand, matanya bersinar-sinar penuh kekaguman (yang mana merupakan satu bebanan berat di bahu saya untuk tidak mengecewakan harapan serta 'expectation'nya). Adik-adik perempuan saya juga telah menunjukkan perubahan yang baik dari segi akhlak dan menutup aurat. Dakwah dan tarbiyah ini sifatnya berjangkit, saya begitu bersyukur memulakan usaha ini kerana sehingga kini, meskipun mereka juga belum Allah rezekikan dengan sistem tarbiyah tersusun, tetapi mereka mempunyai kecenderungan yang baik terhadap Deen ini.
Inspirasi saya menulis pada malam ini juga adalah daripada adik saya yang meletakkan salah satu 'link' kepada ISMA Web tentang usaha Aman Palestin di laman FBnya, serta iltizamnya untuk terlibat. Saya begitu terkesan apabila menyedari bahawa adik-adik saya ada yang telah mula mengikuti rapat perkembangan ISMA, dan berminat pada usaha-usaha dakwah ISMA mahupun usaha-usaha pihak-pihak lain termasuk di peringkat yang lebih global. Saya masih ingat juga, pertama kali saya mengibarkan semangat mereka tentang isu Palestin, kesemua mereka meletakkan logo-logo serta poster-poster kesedaran Palestin di profil masing-masing. Saya melihat adik-adik semua mempunyai potensi diri yang besar serta kecenderungan yang baik kepada jalan yang pernah dilalui oleh para Nabi ini. Ibu juga begitu terkesan dengan perubahan diri anak-anak, dan kerapkali meminta saya (bila saya sudah berkerjaya dan memiliki kewangan yang stabil) agar membawa para murabbi yang telah mendidik saya ke kampung kami agar seluruh kampung mendapat manfaat. (Ibu, sememangnya itulah cita-cita saya!) Semoga Allah membuka hati-hati kalian untuk menemui jalan yang saya temui ini, dan memberikan satu kebahagiaan yang tidak ternilai. Saya mohon jutaan kemaafan juga kepada adik-adik kerana tidak berkesempatan membentangkan rentetan sejarah Islam dan perjuangan para sahabat serta penyambung dakwah Rasulullah SAW pada cuti Summer lepas. Kesesalan sememangnya masih tersisa di hati saya, lebih-lebih lagi apabila kalian menagihnya hampir setiap hari, namun tempoh percutian yang begitu singkat serta kesibukan lain telah menyebabkan permintaan kalian terpaksa ditunda. Saya penuh harapan, di kala saya menyeru dan berusaha membawa adik-adik kepada seorang kakak atau abang, serta anak-anak kepada seorang ibu dan bapa di perantauan ini...semoga Allah SWT menghadirkan para pejuang yang sudi menyeru dan membawa ahli keluarga saya kepada jalan tarbiyah dan dakwah ini, sebagai ganti kepada diri saya sendiri.
Coretan kehidupan saya menuju kepada jawapan terhadap persoalan yang sekian lama menghimpit dada ini merupakan salah satu daripada bukti kekuasaan Allah SWT. Sesungguhnya di sisi Allahlah segala kebaikan, semoga saya tergolong di kalangan orang-orang yang Allah redha, begitu juga dengan seluruh ahli keluarga dan para sahabat saya. Perjalanan ke arah tarbiyah dan dakwah ini begitu sukar, semoga Allah tidak melupakan saya dengan ujian kesenangan terhadap perkara-perkara duniawi, serta menjauhkan saya daripada bersifat riak, ujub mahupun beramal dengan penuh kepura-puraan.
Allahu'alam.
'Dan tidak ada yang lebih baik perkataanya daripada orang-orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah Allah SWT), serta dia sendiri mengerjakan amal-amal soleh sambil berkata: 'Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (berserah diri bulat-bulat kepada Allah SWT)'' (41: 33)
23 comments:
Ya Allah.. Engkau thabatkanlah kami semua diatas jalan ini...!
Moga coretan ini juga dapat memberi inspirasi kpd semua rakan seperjuangan...
jazakillahulkhayran kathira ukhti~! :')
thabit qulubna 'ala deenik... amiin
barakallahu fiki
semoga Allah berkati kita semua
Ya Allah, perteguhkan langkah-langkah kami semua di atas jalan dakwah Mu ini. Berikan kami kekuatan untuk menjadi pejuangMu hingga ke akhirnya....
A very inspiring post.
Jazakillahukhairan katheera for sharing.
ana ucapkan jutaan terima kasih buat ukhti. entri yang sangat terkesan pada ana. sungguh,ana malu dengan diri sendiri bila baca ni. moga Allah merahmati enti and famili. jazakillahu khairan kathira
jzkk ustaz, murabbi yg disanjungi...semoga Allah merahmatimu..
juga ikhwah & akhawat yang ana kasihi atas kesatuan aqidah & fikrah ini atas doa serta ingatan.
di depan masih banyak duri & halangan...semoga Allah thabatkan langkah kita bersama
mg ukht terus istiqamah dijalam mulia ini..amien..amien...tarbiyah itu amat indah...Dia tlh memilih kita utk meneruskan rantai2 perjuangan islam...
jazakillahulkhayran kathira
trima kasih atas pkongsian ni...memberi impak bg diri sy...
Ya Allah. Your post is awesome. Terribly inspiring. I am one of the akhwat of ISMA. I like everything abt ISMA, the usrah, daurah, mukhayyam etc. FYI, I started to know Islam deeper because of ISMA. But, as I'm going through in this jamaah , I found out that ISMA's mission and vission are contradict on what I held before this that is 'Perjuangan Bangsa Melayu'. And as my friend from other jamaah especially IKRAM started to influence me that there are not races in ISLAM, I started to wonder. Can you explain me more so that I can explain to my friends that keep telling me that ISMA causes separation in ISLAM.
# if you got time, can you go through this page?http://puterinafisah.blogspot.com/2009/11/perjuangkan-islam-dengan-kasih-sayang
jazakillah!
true that there is no race in islam. but when i came to think back..i couldn't deny the fact that as muslim in msia, and when we talk about dakwah.. MALAYS are dominating islam in msia! in other words jatuh bangun islam di msia adalah di tangan orang2 melayu! that, we cannot deny. hence, dakwah menjadi lebih 'relevan' sekiranya memfokus kpd malays! getting the malays back on the right path- so that they know what is their purpose in life, why Allah has created them, what they should and shouldn't do. In short, we get people around us, neighbours, officemates...who are 90% malays anyway to have better understanding of islam by organising various activities just like what ISMA did. are all of these sound racist? is ISMA being guilty of causing separation in islam? maybe we just confused. perjuangkan melayu??? ..no..no..it's SATUKAN melayu but PERJUANGKAN islam! akhirnya ISLAM itu juga yg dijulang tinggi bukan melayu. hope this clarifies. wallahualam. "And say (unto them): Act! Allah will behold your actions, and (so will) His messenger and the believers, and ye will be brought back to the Knower of the Invisible and the Visible, and He will tell you what ye used to do."[At-Taubah:105]
barakallahufiki...smg enti terus menyumbang dan thabat dalm perjuangan i.A
penceritaan yang menarik, tahniah!..mudah mudahan terus thabt dalam dakwah
kepada ukhti yang bertanya,
bukanlah saya orang yg terbaik utk menjawab persoalan ukhti, lebih2 lagi di kotak post yang penuh limitasi ini. saya cadangkan ukhti layari laman web ISMA atau pimpinan ISMA sendiri berhubung isu perjuangan bangsa Melayu dalam memartabatkan Islam di Malaysia. sudah begitu banyak kenyataan, artikel serta video penerangan yang ISMA hasilkan berkenaan isu ini, yang saya rasa insyaAllah akan dapat membantu sesiapa yang ikhlas dalam mencari kebenaran. saya sendiri, memahaminya serta dengan penuh keyakinan ingin terus mendokong slogan serta perjuangan ISMA ini tanpa keraguan. semoga Allah jauhkan kami daripada kesesatan mahupun kejahilan yang merugikan.
pesanan saya buat ukhti yang mencari kebenaran: beramal lah dengan kejelasan & kefahaman, dan carilah kebenaran dengan adil. semoga Allah membimbing langkah kita menuju redhaNya. beristighfar serta bertaubat juga pada sebarang sangkaan yang belum dipastikan kejelasannya. bertanyalah juga sesuatu yang tidak pasti kepada yang ahli.
jzkk kepada akhi/ukhti yang membantu dengan jawapan yang baik. semoga Allah berkati.
Alhamdulillah. Jawapan yang meyakinkan dari dua-dua saudara. InshaAllah, I'll put the justice in searching the right one. And hopefully, Allah will guide me to the best way.
Salam..
Utk ringkasnya, ISMA adalah badan Dakwah.. dan dakwah ada 4 rukun..
1. Islam - Ia adalah topik utama dakwah, dan ISLAM akan kekal menjadi topik utama dakwah ISMA..
2. Da'i - Pendakwah pula merupakan teras utama kepada dakwah, melalui tarbiyah tersusun, ISMA berterusan membina ahli agar layak memikul tugas dakwah ini (Biro Pembangunan Sumber Manusia adlh biro paling teras dlm ISMA.. Slogan "Membina Generasi Harapan" kekal sbg moto utama ISMA)
3. Mad'u - Sasaran dakwah - Di sinilah letaknya slogan "Melayu Bersatu Islam Berdaulat", sbg satu kajian dan ijtihad ISMA utk kemaslahatan Islam di Msia. Cuba kembalikan bangsa yg sngt berkait dgn kekuatan Islam di Msia, tidak sekali-kali bermaksud membelakangi bangsa lain..
4. Wasail - Cara & sarana yg digunakan utk memastikan dakwah ini mencakupi semua lapisan masyarakat di negara kita..
Harapnya, kita boleh memahami dimana letaknya setiap langkah semasa yg digunakan dalam perjlanan dakwah ini.. Topik dakwah kita selamanya adalah ISLAM, namun biarlah kita ada agenda tersendiri..
subhanallah....i feel like reading the grand version "negeri 5 menara"..........insyallah .......what we give, we get back
salam Madihah,
Sesungguhnya Allah swt tidak pernah mensia-siakan amalan hambaNya. Kebaikan yang kita taburkan walau di mana kita berada akan kembali kepada kita jua. Sebab itu Allah swt meminta kita semua menjaga hak dan agama ALlah, nescaya Allah swt akan menjaga keluarga dan keturunan kita berada di atas landasan yang benar.
jzkk ustazah.
hati ana merasa tenang sekali dengan komen yang diberikan. doakan kami semua di new zealand ini agar terus thabat.
Barakallahu fiki ya ukhti.. Pengalaman hidup banyak mengajar seseorang menjadi dewasa di tambah dengan Tarbiyyah Rabbani yang tidak pernah putus.
Di atas usia kehidupan yang masih tersisa ini sama-samalah kita memohon taufek dan hidayah dari Allah, memohon maghfirahNya, mengharap thabat dijalan ini mengharung segala ujian & dugaan.."Melayu sepakat Islam berdaulat.".. Allahu Akbar.!
Ya, sesungguhnya Allah sentiasa mendengar segala bisikan hati makhluknya. Alhamdulillah Allah permudahkan jalan yang dilalui oleh Madihah, moga cahaya tersebut terus menyinari sehinggalah kita semua bertemuNya. Kejayaan dan kegagalan semuanya adalah ujian utk kita. Moga kita semua thabat di atas jalanNya. Satu artikel yang amat baik daripada Madihah moga akan menyinari semua pembacanya.
Salam rindu dari akak di Malaysia
K. Shaza
Assalamualaikum akak...
Mabruk 'alaik atas penulisan yg sungguh menggugah jiwa...dapat dirasa ketulusan setiap bait ayat yang dinukilkan...
Berkobar2 rasanya ingin punyai semangat dan ketabahan spt akak...Your post do inspired me a lot...Salam ukhuwah...
Moga kita semua diberi kekuatan untuk terus tsabat melangkah di jalan ini insyaAllah...
buy valium online valium drug class - antidepressant drugs valium
Post a Comment