Semalam saya mengajak adik-adik usrah tercinta ke masjid untuk bersama-sama bersihkan masjid sempena Ramadhan yang bakal menjengah ini...walaupun saya aware juga bahawa masing-masing mereka sibuk menguruskan pelbagai perkara, ada yang menguruskan daurah umum, ada yang membeli barang-barang untuk memasak dan menjana ekonomi untuk dakwah. Semoga Allah memberkahi kalian! Saya sangat sukakan masjid di Dunedin ini dan suasananya...saya juga bercita-cita untuk menjadi orang yang hatinya terpaut pada masjid, lebih-lebih lagi bila membaca hadith-hadith keistimewaan solat berjemaah di masjid, iktikaf dan juga Rasulullah sendiri bersabda saksikan keimanan seseorang itu sekiranya dia melazimi masjid!....tetapi berbanding lelaki, wanita dimuliakan di tempatnya tersendiri untuk beribadah, dan semestinya saya redha dengan ketentuan Allah ini. Maka saya berfikir untuk mencari-cari apa sahaja peluang-peluang lain bagi mencapai cita-cita ini. Peluang membersihkan masjid ini mungkin kelihatan kecil sahaja di mata ramai orang, tetapi besar sekali di hati saya.
Dari awal pagi lagi hati saya berbunga-bunga riang melihat adik-adik berlumba-lumba menjadi hamba Allah yang penuh ketaatan. Deraian air mata mereka dalam usrah ringkas kami seusai Subuh juga membuatkan hati saya begitu suam...pelukan erat setiap mereka, doa yang dilafazkan....begitu sukar diungkapkan, hanya boleh dirasai jika kita sendiri berada di situ! dan kami pun bertebaran mengejar redha Allah setelah itu, saya sendiri tidak bertanya secara spesifik apa perancangan mereka masing-masing kerana thiqah (percaya) bahawa mereka pasti memenuhi perancangan hujung minggu dengan kebaikan, apatah lagi program-program yang diatur juga sudah cukup memadatkan kehidupan mereka.
Akhirnya saya pergi berdua ke masjid (dengan seorang adik usrah)...kami mulakan dengan mengemas perpustakaan masjid kerana brothers mengemas dewan dan persekitaran luar masjid...sungguh dingin sekali dalam perpustakaan itu sehingga tangan-tangan kami merasa sangat sakit bila terkena bucu-bucu buku. Kami berbual-bual betapa masjid pada zaman dahulu adalah jantung hati umat Islam, tumpuan dan tempat untuk segala hal...dari ibadah, menuntut ilmu sampailah kepada membincangkan urusan negara. Sedih dan kesal bila hari ini nak memanggil orang ke masjid pun perlu ada habuan makanan baru muncul...
Sedang kami bertarung melawan kesejukan dan habuk-habuk yang tebal, selain kecelaruan menyusun buku-buku yang separuhnya adalah bahasa Arab (tidak difahami), terdengar ketukan di pintu dan ada yang memberi salam....sejurus pintu terbuka, kami disapa lagi 'Assalamualaikum bidadari-bidadari syurga!'
Tidak akan mampu menggambarkan taman syurga yang indah tempat kediaman bidadari-bidadari yang indah. Alangkah bahagianya!
Waaaahhh!! Alangkah gembiranya hati kami dengan sapaan tersebut. Adik usrah saya yang menyapa masuk diikuti oleh kesemuanya yang lain. Allah! Saya hampir menangis dengan sapaan dan kemunculan mereka. Tapi saya tahan kemas-kemas dan mengalu-alukan kedatangan mereka dengan senyuman. Meriahlah masjid dengan tangan-tangan yang bertambah membersihkannya dan menyediakannya untuk menyambut tetamu mulia. Semoga Allah redha dengan mereka semuanya! dan semoga dengan usaha kecil ini, Allah memberkati kami dan menyebabkan ramai umat Islam terpilih untuk mengunjungi masjid ini dan menyucikan diri di sepanjang madrasah Ramadhan...
Saya kira itu sahaja hadiah dari Allah pagi semalam, tapi tiba-tiba dalam menyusun buku-buku tersebut, saya terjumpa 'Hari-hari dalam hidupku' oleh Zainab Al-Ghazali....lama sekali saya mencari buku ini kerana saya hanya pernah membacanya di internet....dan juga saya temukan buku Peribadi Khalifah Rasulullah oleh Khalid Muhammad Khalid....Allah! Maha Pemurah, Maha Pengasih....hadiah yang sangat bermakna! terima kasih Allah! sambutlah kasih saya dan hadirkanlah KasihMu Allah!
Maka saya pinjam dua buku ini dan semoga ianya menjadi sumber kekuatan buat saya untuk memulakan tirai Ramadhan...saya sangat cintakan masjid kedua paling selatan di bumi New Zealand ini (sebab sekarang dah ada Masjid Invercargill, SubhanAllah!), para pengunjungnya, juga hadiah-hadiah yang banyak dari Allah setiap kali saya mengunjunginya...
Allahumma ballighna Ramadhan...
Buat adik-adikku yang dikasihi semua, semoga kalian terpilih menjadi bidadari-bidadari syurga di bulan Ramadhan ini...
No comments:
Post a Comment