Thursday, April 26, 2012

Selidik betul2 dulu!

Apabila mendalami kisah sahabat mulia Salman Al-Farisi, saya menginsafi perjalanannya menuju kepada cahaya dan hidayah iman. Sahabat ini biasa terkenal dengan usulnya yang bijaksana iaitu menggali parit sebagai strategi perang Khandaq atau Ahzab. Tetapi mungkin masih ramai tidak mengetahui kisah keajaiban perjalanan serta hijrahnya dari Parsi ke Madinah, sehinggalah ditemukan dengan Rasulullah SAW yang agung dan dimuliakan dengan iman yang tiada tandingan bagi kita hari ini. Kisah ini tak mampu saya huraikan dengan gaya bahasa yang terbatas tambahan lagi di ruangan terbatas ini, namun suka untuk saya ceritakan ketika hidayah mengetuk hati Salman untuk tertarik kepada ajaran Nasrani berbanding sembahan api kaumnya, Salman tidak terus tinggal di gereja yang ditemuinya, tetapi yang terpacul dari mulutnya adalah: 'Dari mana asal agama ini?' Setelah tiba di tempat asal ajaran Nasrani, sekali lagi terserlah kebijaksanaan sahabat mulia ini apabila dia mencari 'Siapakah dia orang yang paling 'alim atau berilmu di kalangan penganut agama Nasrani' untuk tinggal dan belajar daripadanya. Kisah ini diteruskan dengan pencarian yang berterusan oleh Salman, sehinggalah taqdir Allah menyampaikan dia kepada apa yang dicari-carinya, iaitu Islam dan Rasulullah SAW! Alangkah beruntungnya sahabat mulia ini!
 

Beberapa tahun kebelakangan ini, selain terkesan dengan kisah Salman Al-Farisi yang mulia ini, pendedahan yang banyak melalui kerja-kerja penyelidikan yang saya lakukan saban hari telah mengikis sedikit sebanyak sikap untuk menilai sesuatu hanya pada permukaannya, atau membuat satu konklusi secara sempit atau tertutup. Mana tidaknya, dalam membuat kajian, saya mesti membuat sandaran atau merujuk kepada kajian-kajian sebelumnya...juga setiap kali saya menerbitkan kajian di 'journal' atau membentangkannya dalam siri-siri 'conference', tulisan atau kata-kata penutup dari mulut saya mesti membuka ruang untuk pengkajian seterusnya - ie 'more research needs to be done' atau 'the underlying mechanisms of these effects need to be addressed in the future'. Jadi, konklusi dalam penyelidikan, dan tidak keterlaluan untuk saya katakan dalam menilai kemelut kehidupan, hendaklah sentiasa terbuka. Kerana hakikatnya kita adalah insan yang lemah dan mustahil untuk mampu mengetahui segala-galanya, bukan! Seperkara lagi yang saya belajar adalah, manusia juga terlalu lemah untuk disandarkan sebagai satu qudwah sepanjang masa, jadi belajarlah untuk berlapang dada dan mencari kelebihan berbanding kelemahan. 

Berkisar pada isu slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat yang dikeluarkan ISMA, saya tak sangka ianya menjadi satu bahan debat yang panjang dan punca-punca cercaan serta maki-hamun yang tidak sepatutnya dari saudara seaqidah. Ada yang kata 'Dah kamu tu ikut ISMA, ikut aje la macam *** semua benda yang Presiden dan ketua2 kamu cakap'...Ehem, terkedu saya! Nak terguris pun tak sempat, nak melatah lagi tak sempatl! Nak bagi penjelasan, tutup telinga pula, sengaja provokasi rupanya! Lepas tu satu-satu pendirian yang ISMA keluarkan dipertikai juga...mula-mula saya sedih juga, jahat sangat ke ISMA ni sampai teruk sangat kena hentam ni? 


Akhirnya.....saya baru perasan, yang kuat menghentam ni bukan rakyat marhain yang perlukan bimbingan dan petunjuk tetapi orang-orang yang 'gelasnya telah penuh'. Jadi kalau cuba nak masukkan lagi apa-apa memang ibarat mencurah air ke daun keladi. Saya tak nafi saya pun khilaf, sahabat2 saya pun khilaf tapi nak menilai satu-satu perkara tu kalau tak ada pengkajian atau bukti2, kukuh, memang saya tak terima la.. Kalau jadi student saya, kamu bagi hujah tak cukup background research, based on emosi pula tu, dah tentu saya reject! 

Konklusi saya beginilah:

1) Saya rasa manfaat lebih besar menerangkan strategi ISMA ini kepada orang-orang yang 'gelasnya masih ada ruang' atau 'gelasnya besar sekali' untuk menerima curahan baru

2) Nak cari kebenaran atau nak terangkan kebenaran, kena ada unsur keikhlasan. Kalau saya nak terangkan sebab rasa 'panas hati' atau 'taknak kalah' atau 'geram' tak berguna...dan kalau yang bertanya pula nak 'mencari salah org' atau 'menunggu orang sakit hati' atau 'mencurah minyak ke api', sesungguhnya tiadalah juga manfaat di dalam pencarian kebenaran tersebut

3) Hidup kita singkat. Carilah perkara yang boleh diamalkan dan menambah amal. Jauhi perkara sia-sia

4) Ruang masih terbuka luas untuk beramal dan membuat slogan. Tak suka slogan kami, buatlah slogan baru. Kalau tidak bercanggah dengan Islam, saya sokong padu! 

5) Selaku seorang ahli akademik, saya mencadangkan agar umat Melayu Islam terutamanya, jadikanlah budaya membaca dan menyelidik daripada sumber yang asli satu budaya dalam kehidupan. Nescaya anda maju jaya! 


Wednesday, February 29, 2012

Penyaksian kebenaran


Telah berkata Nabi Isa A.S ketika dia merasakan keingkaran Bani Israel: ''Siapakah yang akan menjadi penolong ku (untuk menegakkan agama) Allah?''

"Kamilah penolong (agama) Allah. Kami beriman kepada Allah, dan saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang muslim (tunduk patuh)'' Jawab para Hawariyyun (sahabat setia Nabi Isa A.S)

''Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang Engkau turunkan dan kami mengikuti Rasul, kerana itu tetapkanlah kami bersama golongan orang yang memberikan kesaksikan''

Surah Al-Imran: ayat 52-53

Petikan dialog dari mushaf suci ini membugarkan keheningan waktu akhir malam yang mendekati Subuh. Entah kenapa, fikiran saya melakarkan dialog yang serupa dihadapkan kepada saya dan sahabat-sahabat...tetapi kali ini oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Pandangan mata terus kabur kerana genangan air di kelopak mata dan getaran yang semakin memuncak di dada.

Apakah lidah ini akan mengalunkan kata-kata yang serupa dengan para Hawariyyun di atas? Ataukah akan membungkam sepi kerana tidak mampu berdepan dengan RasulNya dan memberikan kesaksian?

Lalu untuk apa saya menggelarkan diri sebagai umat Muhammad, sedangkan ummat Muhammad itu adalah 'ummatan wasata'- umat pertengahan, umat yang adil, umat yang menyambungkan risalah NabiNya, umat yang menjadi saksi kepada seluruh manusia lain...dan Nabi Muhammad SAW sendiri menjadi saksi ke atas perbuatan kami selaku penyaksi kebenaran.


Ya Allah, layakkah aku menggelarkan diriku penolong agamaMu?

Adakah aku menyeru manusia semata-mata kepadaMu ataukah terselit perasaan lain yang tidak kusedari?

Ya Allah, layakkan aku memberikan kesaksian di hadapan RasulMu?

2 baris ayat ini saya ulang-ulang, daripada bacaan di dalam hati sehinggalah dapat didengari oleh kedua-dua belah telinga. Sungguh Al-Quran ini mukjizat agung yang mampu menerbangkan roh ke satu alam penuh keajaiban, penuh kecintaan dan keasyikan. Rupanya inilah mihrab cinta para pejuang dan para sahabat Nabi yang telah memberikan kesaksikan dengan penuh bulat dan teguh. Fahamlah saya kini, meskipun mereka dipenjara atau disiksa, kesakitan pada jasad itu tidak menggoyahkan iman mereka kerana roh mereka bebas dan sedang menikmati keasyikan yang tidak terkata!

Allah! Ya Allah! Aku bersyukur kerana aku mengenaliMu, kerana aku mengenali RasulMu! Aku bersyukur kerana hari ini aku dapat membaca kalimahMu dengan lidah dan hatiku
Dan hari ini aku merasakan kebebasan pada roh dan jiwaku...


Ya Allah, aku ini hambaMu yang lemah, yang hina, yang masih berlumuran dosa dan khilaf Namun aku hadapkan diriku kepadamu...pilihlah Aku untuk menjadi penolong agamaMu...

Ya Rasululllah, aku ini pengikutmu, masih terlalu banyak pesanmu tidak aku ikuti.. Namun aku ingin bersamamu menjadi penolong agama Allah, maka saksikanlah bahawa aku beriman kepada Allah dan RasulNya!

Doa Hawariyyun berbekas di hati, dan dengan sisa kekuatan yang ada saya membacanya lagi, tetapi kali ini bukanlah untuk mengulangi doa para Hawariyyun, sebaliknya merupakan doa saya sendiri kepada Allah SWT:

''Ya Tuhanku, aku beriman kepada apa yang Engkau turunkan dan aku berusaha sedayaku mengikuti RasulMu, kerana itu tetapkanlah aku bersama golongan orang yang memberikan kesaksikan''


Monday, February 6, 2012

Mata. Lensa. Hati

Bismillahirrahmanirrahim....

Lama sungguh tak menjenguk blog ini. InsyaAllah satu ketika yang dilapangkan Allah SWT nanti, saya akan kembali berkongsi di sini.

Untuk kali ini, saya kongsikan blog terbaru saya & suami. Perkongsian dalam blog terbaru kami ini banyak berkisar kepada tadabbur alam dan melihat kebesaran Allah SWT melalui deria mata yang diciptakan. Kebesaran dan keagungan Allah SWT serta rahsia di sebalik penciptaan diri dan alam ini kami rakam dengan lensa kamera dan kami kongsi bersama, dengan harapan ianya menyentuh hati2 yang menatap tanda2 kebesaran Allah. Sungguh, pada penciptaan alam itu terdapat tanda2 kebesaran Allah bagi hati2 yang hidup serta akal yang berfikir. Saya persembahkan blog kami: MataLensaHati

Semoga mendapat manfaat. Salam Maulidur Rasul dari kami.


Thursday, October 20, 2011

Bagaimana saya Muslim dari sudut Aqidah?



Kalimah syahadah yang diajarkan kepada saya sedari saya boleh bertutur, yang didodoikan ibu sejak saya dalam kandungan dan hayunan buaiannya, yang saya fahami ertinya dengan penuh kejelasan, membuatkan saya bersyukur di atas nikmat terbesar yang diperolehi seorang manusia iaitu Iman dan Islam. Mengenal Allah yang menciptakan saya, bergantung kepadaNya, meminta kepadaNya dan menyerahkan seluruh hidup untukNya memberikan ketenangan yang tidak dapat digambarkan. Saya benar-benar bersyukur dan insaf tidak perlu melalui pengalaman seperti kebanyakan manusia lain yang hingga ke hari ini masih mencari-cari tujuan diciptakan di bumi serta meraba-raba dalam kesesatan, malah ada yang sudah jemu meneruskan kehidupan!

Dunia hari ini menyaksikan manusia-manusia seperti saya yang telah mengenal Allah, mengakui keesaanNya dan kekuasaanNya melangkah meninggalkan kepercayaan atau aqidah yang diyakininya ini dengan begitu tegar sekali. Lebih sedih, mereka-mereka ini meninggalkan Allah dan ketaatan untuk memberikan ketaatan kepada sesuatu yang lebih rendah dan sesat daripada jalan lurus dan mulia yang pernah dimilikinya. Gelaja murtad yang semakin meruncing ini tidak wajar dilihat sepicing mata, kerana siapa tahu esok lusa, kenalan atau darah daging sendiri boleh terjebak. Mengapa kita begitu risau sekali isu ini? Kerana Allah telah sebutkan tidak ada dosa2 yang tidak diampunkan kecuali syirik. Apalah nasib org2 murtad ini yang tidak dihiraukan nasibnya di akhirat nanti? Bukankah kita pernah menyayangi mereka sebagai salah seorang saudara seaqidah?


Adakah kita sekadar membiarkan manusia2 ini murtad dan menjerumuskan diri ke lembah kehancuran?

Menginsafi isu ini, saya berpesan kepada diri sendiri untuk menguatkan kembali aqidah kepada Allah SWT. dan menyokong penuh usaha-usaha menyatukan umat dan membanteras gejala murtad ini. Saya petik dan ringkaskan daripada buku usrah pertama saya di sekolah dahulu (Maza Yakni Intima' il Islam : Apa Erti Saya Menganut Islam oleh Ustaz Fathi Yakan): Sebagai seorang muslim, saya mestilah:

1) Beriman dan yakin bahawa pencipta alam sejagat ini ialah Allah yg Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan sesiapa


2) Beriman dan yakin bahawa Allah tidak mencipta alam ini secara sia2 atau main2 kerana sifat itu tidak layak bagi Allah SWT Yang Maha Sempurna


3) Beriman dan yakin bahawa Allah mengutuskan pada Rasul dan menurunkan kitab bg mengajarkan manusia mengenal Allah dan memberitahu mereka ttg tujuan kewujudan di dunia dan ke mana akhirnya penghidupan mereka


4) Beriman dan yakin bahawa matlamat hidup manusia ialah untuk mengenal Allah sebagaimana sifat2 Allah yg telah diterangkan, taat kpd Allah dan mengabdikan diri kpdnya


5) Beriman dan yakin bahawa syurga adalah balasan dan ganjaran bg mukmin yg taat dan neraka adalah balasan dan ganjaran siksaan bg org2 kafir


6) Beriman dan yakin bahawa manusia itu dpt dan boleh mencapai kebaikan atau kejahatan melalui daya usaha, ikhtiar dan kehendaknya, namun semuanya tidak dapat kecuali dengan taufiq & pertolongan Allah. Semuanya dlm lingkungan dan kehendak Allah


7) Beriman dan yakin bahawa pensyariatan undang2 adalah hak mutlak Allah, tidak boleh dilewati atau dilanggari


8) Mempelajari dan berusaha mengetahui nama2 dan sifat2 yang layak bg Allah


9) Berfikir ttg makhluk ciptaan Allah bukan ttg Dzat Allah sebagai tanda ketundukan


10) Mengenal sifat2 Allah dan kesempurnaan UluhiyahNya


11) Menyakini bahawa pendapat para salafussoleh lebih utama utk diikuti dlm menyelesaikan permasalahan yg berhubung dgn masalah ta'wil, pembekuan nas dan menyerahkan semuanya kpd ilmu dan pengetahuan Allah


12) Mengabdikan diri kpd Allah semata2, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu


13) Hendaklah takut semata2 kepada Allah dan tidak selainNya


14) Sentiasa mengingati Allah dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah


15) Mencintai Allah dgn kecintaan yg menyebabkan hati saya sentiasa merindui Allah dan sentiasa bergantung kpdNya


16) Bertawakkal kpd Allah dan bergantung kpdNya dalam semua perkara


17) Bersyukur kpd Allah atas nikmat dan kurniaanNya yang tiada terhingga


18) Meminta ampun dari Allah dan sentiasa bertaubat (istighfar) kerana itu merupakan kifarat bg segala kesalahan di samping memperbaharui taubat dan iman


19) Sentiasa dlm keadaan bermuraqabah (hubungan erat & merasakan pemerhatian Allah) baik dalam keadaan terang atau tersembunyi



Semoga Allah mengekalkan saya dan kita semua sebagai seorang Muslim dan kembali kpdNya dalam keadaan taat dan berserah.

Wednesday, October 5, 2011

Pemergiannya...adakah terselit sesalan?

Hari ini, sepucuk lagi telegram saya terima.

Peringatan dari yang mulia dan yang sentiasa taat, hambaNya yang terpilih dan dikasihi, Izrail. Telegram-telegram lepas masih saya simpan kemas dan ingat intipatinya, malah baru sahaja saya ziarahi destinasi pertama seperti tertera dalam telegram tersebut cuti Aidilfitri yang lalu. Kehadiran telegram kali ini membawa saya kepada satu sesi renungan yang dalam, seperti mana yang sebelumnya. Kerana kisah insan yang diceriterakan dalam telegram ini, kerana tautan hati yang ada padanya, kerana secebis cita-cita yang tidak kesampaian.

Aneh kerana pertalian darah tiada antara kami, kalau pun ada pasti salasilahnya jauh. Pertautan kami adalah kerana mendiami kariah yang sama, juga pertalian persahabatan yang pernah dijalin dengan anaknya. Sekilas terbayang di benak saya, wajah lesunya, pakaian lusuhnya dan seluruh keperitan hidup yang ditanggungnya. Tidak jauh perasaan saya terhadapnya berbanding ibu saya, kerana mereka ada persamaan. Cuma Allah merezekikan kepada saya dan adik-adik sedikit kecemerlangan yang menghentikan kata nista manusia terhadap ibu dan keluarga saya. Tetapi tidak pada wajah lesu insan yang juga bergelar ibu ini. Rezekinya bukan pada harta atau kebanggaan ilmu, tetapi anak-anak ramai yang dicemburui orang yang tidak memilikinya. Maka, lemparan kata-kata dan pandangan yang serong adalah satu kewajipan yang menyertainya ke mana sahaja dia pergi.

Saya mengimbas kembali detik-detik bersamanya. Seorang ibu ini sentiasa berusaha menjalinkan silaturrahim dan menyebutkan bahawa ada pertalian saudara antara dia dan sekian sekian orang. Usaha ini diremehkan malah dicebik kerana kedhaifan hidupnya. Tiada siapa sudi mengakui mereka bersaudara dengannya, sedangkan hakikatnya dia adalah saudara aqidah seluruh umat Islam. Masih saya ingat bibir saya ketap kuat mendengarkan kata-kata nista ini sehingga membawakan saya untuk berkata, 'Maaf, itu ibu saudara saya'. Dan terbungkamlah manusia-manusia tersebut menahan malu. Mengapa malu di hadapan saya? Tidakkah kalian malu di hadapan Allah?

Wajah seorang ibu tua itu begitu berbekas di hati dan minda saya (gambar hiasan)

Seorang ibu ini juga seringkali dijauhi, tidak diundang dan kehadirannya ke majlis-majlis tidak disenangi. Saya selalu memerhatikannya dari ekor mata, tetapi apalah daya saya. Terselit di hati andai rezeki saya dilapangkan, bukan sahaja ibu saya, tetapi seorang ibu ini juga akan saya ringankan sedikit bebanan di bahunya. Kali terakhir saya memeluknya dan menegurnya, terkedu saya apabila wajahnya sayu sekali, matanya berkaca dan dia bertanya kepada saya, 'Kenalkah kamu pada makcik? Ingat lagi kamu pada makcik?' Mana mungkin saya lupakan! Saya mendapat tarbiyah dari kegigihan seorang ibu yang tabah ini!

Seorang ibu ini telah kembali kepada Allah SWT, mungkin dengan seluruh keinginan-keinginan terpendam dalam dadanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Tidak mengapalah, saya masih ingat sebuah hadith bahawa orang-orang yang diuji Allah dengan kesempitan rezeki akan diseru bangkit lebih awal, dan dikatakan bangkitlah orang-orang yang dadanya terpendam banyak keinginan namun dia bersabar atas rezekinya. Hari ini saya mengucapkan takziah kepada sang anak, sahabat saya. Sayu hati saya, dan terlintas sedikit rasa terkilan kerana tidak sempat saya melihat senyuman seorang ibu itu lagi atau menunaikan apa yang pernah saya ikrarkan dalam hati. Saya berdoa sahabat saya serta adik-beradiknya dapat menjadi anak yang soleh dan solehah agar doa-doa mereka tidak putus-putus hadir buat seorang ibu yang telah banyak berkorban untuk mereka seluruh hidupnya.

Telegram kali ini membekas dalam di hati saya sehingga saya terus menghubungi ibu saya semata-mata ingin mendengar suaranya. Semoga ibu saya dipelihara Allah dan diberikan kesihatan yang baik agar dapat saya berbakti kepadanya. Saya katakan yang saya kasih sekali pada ibu saya, kerana saya tidak ingin terselit sesalan andai perkataan ini tidak saya ucapkan sekarang...