Sunday, July 31, 2011

Bidadari - bidadari syurga di bulan Ramadhan

Semalam saya mengajak adik-adik usrah tercinta ke masjid untuk bersama-sama bersihkan masjid sempena Ramadhan yang bakal menjengah ini...walaupun saya aware juga bahawa masing-masing mereka sibuk menguruskan pelbagai perkara, ada yang menguruskan daurah umum, ada yang membeli barang-barang untuk memasak dan menjana ekonomi untuk dakwah. Semoga Allah memberkahi kalian! Saya sangat sukakan masjid di Dunedin ini dan suasananya...saya juga bercita-cita untuk menjadi orang yang hatinya terpaut pada masjid, lebih-lebih lagi bila membaca hadith-hadith keistimewaan solat berjemaah di masjid, iktikaf dan juga Rasulullah sendiri bersabda saksikan keimanan seseorang itu sekiranya dia melazimi masjid!....tetapi berbanding lelaki, wanita dimuliakan di tempatnya tersendiri untuk beribadah, dan semestinya saya redha dengan ketentuan Allah ini. Maka saya berfikir untuk mencari-cari apa sahaja peluang-peluang lain bagi mencapai cita-cita ini. Peluang membersihkan masjid ini mungkin kelihatan kecil sahaja di mata ramai orang, tetapi besar sekali di hati saya.

Dari awal pagi lagi hati saya berbunga-bunga riang melihat adik-adik berlumba-lumba menjadi hamba Allah yang penuh ketaatan. Deraian air mata mereka dalam usrah ringkas kami seusai Subuh juga membuatkan hati saya begitu suam...pelukan erat setiap mereka, doa yang dilafazkan....begitu sukar diungkapkan, hanya boleh dirasai jika kita sendiri berada di situ! dan kami pun bertebaran mengejar redha Allah setelah itu, saya sendiri tidak bertanya secara spesifik apa perancangan mereka masing-masing kerana thiqah (percaya) bahawa mereka pasti memenuhi perancangan hujung minggu dengan kebaikan, apatah lagi program-program yang diatur juga sudah cukup memadatkan kehidupan mereka.

Akhirnya saya pergi berdua ke masjid (dengan seorang adik usrah)...kami mulakan dengan mengemas perpustakaan masjid kerana brothers mengemas dewan dan persekitaran luar masjid...sungguh dingin sekali dalam perpustakaan itu sehingga tangan-tangan kami merasa sangat sakit bila terkena bucu-bucu buku. Kami berbual-bual betapa masjid pada zaman dahulu adalah jantung hati umat Islam, tumpuan dan tempat untuk segala hal...dari ibadah, menuntut ilmu sampailah kepada membincangkan urusan negara. Sedih dan kesal bila hari ini nak memanggil orang ke masjid pun perlu ada habuan makanan baru muncul...

Sedang kami bertarung melawan kesejukan dan habuk-habuk yang tebal, selain kecelaruan menyusun buku-buku yang separuhnya adalah bahasa Arab (tidak difahami), terdengar ketukan di pintu dan ada yang memberi salam....sejurus pintu terbuka, kami disapa lagi 'Assalamualaikum bidadari-bidadari syurga!'

Tidak akan mampu menggambarkan taman syurga yang indah tempat kediaman bidadari-bidadari yang indah. Alangkah bahagianya!

Waaaahhh!! Alangkah gembiranya hati kami dengan sapaan tersebut. Adik usrah saya yang menyapa masuk diikuti oleh kesemuanya yang lain. Allah! Saya hampir menangis dengan sapaan dan kemunculan mereka. Tapi saya tahan kemas-kemas dan mengalu-alukan kedatangan mereka dengan senyuman. Meriahlah masjid dengan tangan-tangan yang bertambah membersihkannya dan menyediakannya untuk menyambut tetamu mulia. Semoga Allah redha dengan mereka semuanya! dan semoga dengan usaha kecil ini, Allah memberkati kami dan menyebabkan ramai umat Islam terpilih untuk mengunjungi masjid ini dan menyucikan diri di sepanjang madrasah Ramadhan...

Saya kira itu sahaja hadiah dari Allah pagi semalam, tapi tiba-tiba dalam menyusun buku-buku tersebut, saya terjumpa 'Hari-hari dalam hidupku' oleh Zainab Al-Ghazali....lama sekali saya mencari buku ini kerana saya hanya pernah membacanya di internet....dan juga saya temukan buku Peribadi Khalifah Rasulullah oleh Khalid Muhammad Khalid....Allah! Maha Pemurah, Maha Pengasih....hadiah yang sangat bermakna! terima kasih Allah! sambutlah kasih saya dan hadirkanlah KasihMu Allah!

'Hadiah' dari Allah yang sangat bermakna!

Maka saya pinjam dua buku ini dan semoga ianya menjadi sumber kekuatan buat saya untuk memulakan tirai Ramadhan...saya sangat cintakan masjid kedua paling selatan di bumi New Zealand ini (sebab sekarang dah ada Masjid Invercargill, SubhanAllah!), para pengunjungnya, juga hadiah-hadiah yang banyak dari Allah setiap kali saya mengunjunginya...

Allahumma ballighna Ramadhan...
Buat adik-adikku yang dikasihi semua, semoga kalian terpilih menjadi bidadari-bidadari syurga di bulan Ramadhan ini...

Thursday, July 28, 2011

satu rindu yang tidak tertahan!

Pagi ini saya menadah aliran air yang sejuk dingin selepas bersahur...dada seperti dibukakan selapang-lapangnya, namun kerinduan yang amat dalam menyebabkan air mata saya mengalir bersama-sama aliran air wudu' yang meluruh dari wajah.

Menatap skrin komputer, melihat klip video 'Lord of Ramadhan', dada saya sedikit sesak dan hiba, sekali lagi air mata mengalir lancar. Berjalan ke universiti, saya mendongak ke langit biru yang indah....Allah....cantiknya ciptaanMu! Airmata saya terlalu murah pada ciptaan yang terlalu hebat dan tidak tertanding nilaianNya!



Menjenguk ke bilik office yang dah ditinggalkan beberapa hari, saya memberi salam kepada Laila Al-Ghifari, membelai helaian hijaunya yang sangat cantik serta kelopak merah jingganya sambil bertasbih kepada Yang Menciptanya...Seluruh alam bagaikan berbicara kepada saya, menambahkan kerinduan saya....


Sungguh...saya rindukan Ramadhan, saya rindukan 'dakapan' rahmat dan kasih sayang yang hanya didapati di bulan ini...Allah, pilihlah saya, atas alasan apa sekali pun...untuk terus berada di jalan ini, untuk berjuang dengan seikhlasnya, dan kurniakanlah saya syahid di jalanMu...

Airmata saya tidak mahu berhenti, Allah...bimbing saya, bantu saya...tunjukkan saya jalan yang lurus..kuatkan himmah saya! Saya ingin mencintaiMu Allah melebihi segala-galanya, saya juga ingin bertemu Rasulullah SAW, para sahabatnya, para pejuang yang telah mendahului saya....Izinkanlah dan perkenankanlah Ya Allah!

Allahumma balighna Ramadhan...

(Laila adalah pokok bunga saya, diambil nama bersempena seorang sahabiah di zaman Rasululah yang sering turut serta dalam peperangan merawat para pejuang yang sakit dan terluka...semoga Allah redha)

Thursday, July 21, 2011

Shaaban...andai ini yang terakhir ~

Suka betul kat banner ISMA N9 ni....pinjamla letak sini

Acapkali kita merancang jauh, meletakkan target-target tertentu dalam kehidupan, memikirkannya dengan mengerahkan sepenuh keringat dan tenaga...sehingga terlupa bahawa jam pasir yang menyukat masa kita mungkin telah hampir semuanya meluncur deras ke bawah, menandakan dekatnya masa untuk kita berpindah ke alam baru. Apabila berlaku peristiwa kematian, adakalanya kita terkaku seketika bermuhasabah dan menginsafi detik kehidupan yang sangat singkat...tetapi banyak juga ketikanya kita meneruskan kehidupan seperti biasa, seolah-olah tiada perkaitan di antara kita dan si mati yang kembali menemui Tuhan.

Hari ini setelah bertemu supervisor membincangkan progress thesis saya, lama saya merenung kalendar yang terpampang di kabinet ofis...cepatnya masa berlalu! desis hati saya. Sempat ke siapkan thesis ni dalam masa yang dirancang? Kerisauan menjengah secara tiba-tiba. Sepantas itu jemari saya luncurkan membuka icalendar di komputer. Menanda-nandakan tugasan dan perancangan untuk bulan-bulan akan datang dengan terperincinya.

Sekali lagi mata saya kerling ke kalendar di kabinet tersebut untuk melihat waktu solat. Sedetik itu jugalah mata saya melihat tarikh dalam bulan Islam di kalendar yang sama. Allah! Dari tadi saya melihat kalendar ini, humum saya hanyalah thesis dan pelajaran. Langsung tak terkerling bulan Shaaban yang nak berlalu dah pun ni. Terus saya beristighfar....Mudahnya manusia dilalaikan...




Terus saya buka carta amalan harian (dalam excel) untuk semak progress amal seminggu dua ini...Yelah, dengan supervisor semak progress thesis berkala setiap minggu...nak semak progress amal pun kadang2 lupa, sedangkan malaikat catit hari2....segera juga saya klik icalendar 'dakwah & tarbiyah' untuk melihat susunan program2 sepanjang Shaaban dan Ramadhan...Alhamdulillah, dah tersusun banyak dah, target2 peribadi pun dah tulis awal2, tinggal nak ingatkan diri dan buat sahaja.

Masih lagi terasa hati liat semacam, mungkin banyak sangat fikir dunia kebelakangan ni. Mencari2 artikel tentang kematian, baca dan tadabbur Al-Quran tentang akhirat dan kehidupan selepas dibangkitkan...barulah terasa 'basah' sedikit. Allah! andainya Shaaban ini yang terakhir....tak sempatlah nak jejak ke Ramadhan dan sucikan diri....moga2 disampaikan kepada Ramadhan dan dapatlah ditebus dosa2 yang banyak ini dengan amalan2 yang dijanjikan ganjaran berlimpat-ganda serta pintu2 keampunan yang dibuka luas-luas.

Allahumma ballighna Ramadhan


Saturday, July 16, 2011

Menginsafi Realiti ~

Melihatkan reaksi para pengunjung dan pembaca blog serta facebook pimpinan ISMA, saya tersenyum sendirian, menggeleng2kan kepala dan beristighfar panjang. Adakalanya saya terpinga2 samada pengunjung ini perlu dibantu untuk dijelaskan kefahamannya atau dibiarkan sahaja sehingga sampai tempoh fikirannya menjadi lebih matang atau dibukakan hidayah Allah kepadanya. Agenda yang dibawakan ISMA pada saya begitu mudah, tetapi masih begitu sukar difahami oleh ramai orang. Saya juga keliru, kerana begitu ramai yang menumpahkan tenaga dan masa untuk mencemuh tindakan serta pergerakan ISMA sedangkan pada saya, kalau tak suka, sudahlah....orang tak mahu, kami pun tak sudi. (^_^) <-- senyum sket.

Saya juga bertambah keliru apabila semakin banyak bicara, adakalanya jelas terserlah kejahilan dan hilangnya adab-adab yang sepatutnya ada pada seorang muslim, lebih-lebih lagi daie Allah. Lebih teruk lagi apabila tuduhan-tuduhan yang dilemparkan naik setingkat ke tahap yang begitu hina seperti tali barut, anjing UMNO dan sebagainya. Semoga Allah mengampunkan kita!

Saya pernah tersinggah di laman web yang diwujudkan khas untuk mengutuk ISMA oleh siswazah yang belajar di bumi para Anbiya'. Terpaku saya melihatkan tuturkata, akhlak dan keperibadian yang mengejutkan daripada bakal-bakal pewaris yang saya kira hebat kerana mengaji di bumi yang pernah saya sendiri cita-citakan untuk menjejakinya. Manusia boleh hilang akal apabila dikuasai emosi dan hawa'. Alangkah jeleknya! Saya sendiri merasa malu dan tidak sanggup membaca mana-mana muslim menghina muslim yang lain...

Saya teringat seorang murabbi berpesan, bahawa amal yang diserlahkan dengan perbuatan itu lebih dalam dan lebih memberi kesan daripada amal melalui kata-kata dan pena. Maka, teruskan sahaja kerja kita...kalau kita ikhlas, satu hari nanti Allah pasti membenarkan kita. Jadi, sahabat-sahabat perjuangan yang dikasihi sekalian, ada masa-masanya saya kira perlu untuk kita membela diri dan memperbetul kesilapan dan tuduhan yang dilemparkan. Tetapi apabila yang menuduh itu terus-menerus berakhlak seperti orang yang jahil dan tetap berkeras dengan pendiriannya, dan hanya semata-mata inginkan kita yang tunduk mengakui kata-kata mereka, maka saya rasa molek ditinggalkan sahaja dan tidak perlu dilayan orang-orang sebegini.

Semoga Allah memberikan mereka & kita semua hidayah, menguatkan mereka & kita juga dalam lapangan masing2...dan satu hari nanti tidak mustahil kita bakal bergandingan tangan dan bahu, bersepakat dalam agenda Umat. InsyaAllah! Mimpi hari esok adalah realiti hari ini....mari berusaha ke arahnya~



Friday, July 15, 2011

Tidak Hanya Sekadar Saduran Qana’ah

Bayu yang bertiup lembut membelai penuh mesra dan angin yang membawa bersama desiran irama merdu penuh damai sedikit pun tidak berjaya membawa ketenangan pada seraut wajah penuh kekeruhan. Seluruh pandangan tertumpah pada lautan biru yang luas tak bertepi, tetapi seluruh fikiran juga begitu sesak, bagaikan tiada sedikit ruang pun untuk bernafas.

‘Furqan’ sapaan lunak seorang sahabat memecah lamunan.

‘Apakah yang menimbulkan garis2 halus di wajahmu, yang membungkam senyuman mesramu dan yang membuatmu pergi jauh membawa diri?’

Ya Allah, hadirkanlah ketenangan yang didambakan....

Kelu bicara. Mengharapkan sang sahabat untuk menembusi hati, memahami betapa kepedihan dan keperitan ini tidak dapat ditahan lagi, malah gagal sama sekali untuk disembunyikan. Kerutan di dahi semakin jelas, nafas juga ditarik sedalam mungkin.

Hati merasa tercalar kerana nikmat dunia ini kelihatannya melimpah ruah pada manusia lain, tetapi tidak pada diri ini. Perasaan kekerdilan, kehinaan dan kekurangan melontar jauh segala keyakinan, kekuatan dan semangat untuk berdepan dengan seluruh dunia, apatah lagi untuk menyeru manusia kepada Allah. Perasaan halus yang bertandang tanpa undangan ini menjalari segenap pembuluh darah dan meresapi seluruh tubuh persis racun berbisa yang amat pedih sekali.

‘Furqan’ gemersik sekali suara yang amat dikenali itu.

‘Pernahkah kau dengar tentang Qana’ah?’ Satu persoalan yang menyentap hati, menggegarkan sanubari.

Qana’ah. Merasa cukup dan tenang dengan rezeki serta ketentuan dari Allah?

‘Benar sekali. Perasaan ini hanya akan hadir setelah keyakinan seseorang itu benar-benar mantap terhadap ketentuan Allah pada hambaNya’

Dari Ibnu Mas’ud r.a, disebutkan sabda Rasulullah SAW di antaranya, “Kemudian Allah mengutus kepadanya (janin) seorang malaikat lalu diperintahkan menulis empat kalimat (ketetapan), maka ditulislah rezekinya, ajalnya, amalnya, celaka dan bahagianya.” (HR. al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Keyakinan itu sudah pasti. Tidak mungkin terlintas sebarang keraguan pada ketetapan Ilahi. Tetapi...aahh..manusia-manusia juga merencanakannya...Lantas diri ini dizalimi, diperlekeh dan dipandang enteng!

‘Furqan...Furqan’ suara itu kedengaran lembut sekali memujuk.
Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak ada seorang pun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Fathir : 2)

Tetapi pandangan tidak mampu lagi diangkat tinggi-tinggi setelah ketentuan Tuhan hadir dalam hidup. Seluruh pandangan mata menujah ke arah ini, bagaikan panah yang terlepas dari busarnya, menikam tepat persis bilahan pedang yang tajam. Dan semangat yang dahulunya membara kini terasa semakin mendingin, bagaikan membiarkan hati membeku keseorangan.

‘Furqan, mari dengarkan kalimah Allah yang indah ini’ tiada sedikit pun tanda-tanda putus asa kedengaran.

Apakah mereka yang membagi-bagi rahmat Rabbmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebagian mereka atas sebagian yang lain beberapa derajat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat Rabbmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Az-Zukhruf : 32)

Bayu yang bertiup lembut membelai penuh mesra dan angin yang membawa bersama desiran irama merdu penuh damai sedikit pun tidak berjaya membawa ketenangan pada seraut wajah penuh kekeruhan. Seluruh pandangan tertumpah pada lautan biru yang luas tak bertepi, tetapi seluruh fikiran juga begitu sesak, bagaikan tiada sedikit ruang pun untuk bernafas.

‘Furqan’ sapaan lunak seorang sahabat memecah lamunan.

‘Apakah yang menimbulkan garis2 halus di wajahmu, yang membungkam senyuman mesramu dan yang membuatmu pergi jauh membawa diri?’

Apabila Al-Quran berbicara...

Terkelu dan terkedu lagi. Pukulan ombak memecah kesunyian. Pandangan terlontar kini melepasi garisan ufuk yang terlihat di mata. Haruskah terus-menerus berlegar dalam kekeliruan dan keserabutan?

‘Furqan’. Kali ini terasa hati kecil menyahut panggilan ini.

Rasulullah SAW adalah manusia yang paling Qana’ah, redha dengan apa yang ada dan paling banyak zuhudnya. Baginda juga seorang yang paling kuat iman dan keyakinannya, namun demikian baginda masih meminta kepada Allah SWT agar diberikan Qana’ah, dengan berdoa:

“Ya Allah berikan aku sikap Qana’ah terhadap apa yang Engkau rezekikan kepadaku, berkahilah pemberian itu dan gantilah segala yang luput (hilang) dariku dengan yang lebih baik.” (HR al-Hakim, beliau menshahihkannya, dan disetujui oleh adz-Dzahabi).

Titisan suam mengalir di pipi. Bara di hati ditiup cukup untuk merasakan hangatnya kembali. Ya Rasulullah, ajarkan bagaimana harus diri ini menguasai Qana’ah!

‘Terakhir hari ini buatmu Furqan.’ Perlahan. Namun penuh ketegasan suara itu kedengaran.

Telah bersabda Nabi SAW: “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah dari kamu dan janganlah melihat kepada orang yang lebih tinggi darimu. Yang demikian lebih layak agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah.” (HR.al-Bukhari dan Muslim)

‘Jangan sekadar menyadur Qana’ah dalam hatimu, Furqan. Tetapi jadikanlah ianya intipati yang memenuhi keseluruhan rongga. Barulah di situ ditemui bahagia’.

Seraut wajah kembali damai. Kelopak mata redup dibasahi titisan keinsafan. Bicara bersama sahabat iman tidak pernah sia-sia. Semoga Qana’ah memenuhi segenap ruang hati.


Ya Allah, jadikan dunia di tanganku...bukan di hatiku....


.......

(Olahan semula daripada artikel lama)



Tuesday, July 12, 2011

Alunan yang menggetarkan hati...

Beberapa hari kebelakangan ini...alunan lagu yang satu ini meresap jauh ke lubuk hati...
Berkumandang jelas kedengaran meskipun kedua bibir saya terkunci rapat....Membuatkan hati saya bergetar hebat dan mata berkaca2....

Lirik yang begitu menusuk kalbu, membangkitkan iman dan merangsangkan seluruh fikiran....Menyebabkan saya menarik nafas dalam2 setiap kali ianya berkumandang...Mungkin juga kerana alunan pertama lirik ini saya dengar daripada Ustaz Fauzi Asmuni, murabbi yang amat disegani, maka kesannya begitu mendalam dan sukar untuk diceritakan...



"Jangan Tanyakan Aku Tentang Hidupku"

لا تسألوني عن حياتي
فهي أسرار الحياة
هي منحة .. هي محنة
هي عالم من أمنيات
قد بعتها لله ثم
مضيت في ركب الهداة

أما طريقي فهو
قرآن .. وسيف .. وابتلاء
الله باركه وسار عليه قبلي الأنبياء
و مواكب الشهداء روته بأنهار الدماء
فإذا به روض ذكي في إطار من ضياء

أما مصيري فهو
مايرضي الإله وما يريد
الفوز بالنصر المبين
أو الشهادة والخلود
فإذا وجدت على الثرى
والعمر محدود الحدود
فكن البطولة والهداية
أو فيا بئس الوجود

terjemahan:

Jangan tanyakan aku tentang hidupku
ia adalah sebuah rahsia kehidupan
ia adalah anugerah.. ia adalah ujian
ia adalah dunia yang penuh dengan cita-cita
aku telah menjualkannya kepada Allah
kemudian aku berjalan dalam barisan para pembawa petunjuk

dan jalan hidupku adalah
al-Qur’an, pedang, dan ujian..
Allah telah memberkatinya dan para nabi terdahulu telah melaluinya
para syuhada’ telah menyirami jalan ini dengan darah mereka
maka jadilah ia taman indah yang dikelilingi cahaya

sedangkan penghujung perjalananku adalah
apa yang meredhakan Allah dan apa yang diinginkanNya
keuntungan dengan kemenangan nyata
atau kesyahidan dan keabadian
jika engkau telah berada di muka bumi
dan engkau tahu umurmu terbatas
maka jadilah pahlawan dan pembawa petunjuk
jika tidak alangkah buruknya kewujudanmu


Setiap kali berkumandangnya alunan ini, terbayang juga wajah2 akhawat yang amat dirindui, saat2 pertama kita mula mengerti apa yang dituntut dalam lafaz kalimah syahadah, serta ikrar yang dinobatkan bersama untuk menyerahkan kehidupan ini buat Islam....Sesungguhnya, telah berlalu golongan yang telah berikrar dan menunaikan janji2 mereka, dan sebahagian lagi masih menunggu2....semoga kita tergolong dalam golongan yang masih menunggu2 untuk membuktikan ikrar kita, dan bertemu dengan apa yang dicita2kan di penghujung jalan ini.