Alhamdulillah...Maha Suci Allah yang mengurniakan nikmat yang tidak terhitung kepada hamba2Nya. Di dalam kesukaran perjuangan hidup sehari-harian untuk melaksanakan ikrar dan haq syahadah yang telah difahami, cahaya petunjuk kadang2 dihadirkan dengan cara yang tidak disangka2. Sungguh, Allah SWT adalah murabbi agung yang sentiasa membentangkan tarbiyahNya kepada hambaNya dengan kepelbagaian wasilah dan uslub. Semoga Engkau terus memilih hambaMu yang dhaif ini....
Maha Kuasa Allah SWT yang telah memperlihatkan tanda-tanda kekuasaanNya. Melihatkan perubahan fizikal pada diri sendiri, dan merasakan tindakbalas seorang bakal khalifah yang kini telah pun ditiupkan rohnya, dalam dunia misterinya pada tubuh saya sendiri, hanya sahaja menanti detik untuk mula beramal di alam dunia...sungguh begitu banyak sekali sentuhan tarbiyah yang dititipkan Allah SWT buat saya. Ujian dan kesukaran yang ditimpakan kepada saya membawa seribu satu keinsafan dan menambahkan lagi keimanan kepada firman Allah SWT...
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu
bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan
telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh
mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa
tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang
sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun,
berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya
tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada
ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau
redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa
zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan
sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”(Al-Ahqaf: 15)
Sepanjang tempoh masa istimewa yang dikurniakan Allah ini, selain pengalaman baru dan perubahan2 fizikal yang samada menyeronokkan atau menginsafkan....Allah SWT telah memberikan satu lagi hadiah istimewa yang menggugah jiwa dan sanubari saya. Membangkitkan keimanan dan mendesak saya agar lebih bersungguh2 dalam muraqabah kepadaNya. Maha Suci Allah, pilihlah saya serta zuriat keturunan saya sebagai hamba2Mu yang soleh/ah yang Engkau redhai untuk berjalan di jalan yang telah diukir oleh para Rasul dan sahabat mulia.....
Hadiah pertama merupakan sebuah mimpi bertemu bakal khalifah, juga tetamu pelengkap keluarga kecil kami. Saya begitu teruja kerana melihat si kecil yang menyejukkan mata di dalam mimpi yang tidak ingin saya bangun darinya. Penuh keasyikan saya melihat wajah suci yang masih menunggu untuk dicorakkan..Mungkinkah ini satu fenomena biasa seorang yang bakal bergelar ibu dan menanggung sebuah lagi amanah berat dalam kehidupan? Hati kecil saya berbisik. Apabila suami saya turut bercerita bermimpikan bakal khalifah, saya tersenyum sendirian kerana sesi taaruf kami rupanya telah bermula di alam roh yang begitu misteri, ketika kami berdua di'mati'kan daripada dunia ini dan melayari alam yang berbeza.
Sesi taaruf berlangsung lagi pada kali yang lain. Saya mengendong sang khalifah kecil yang telah pun menyapa dunia. Sang Khalifah memandang ke arah saya dengan satu keasyikan yang sukar untuk diceritakan. Tiba2 muncul dari mulut mungilnya....'Ummi, bangunlah untuk solat....bangunlah Ummi' Saya tersentak, sehingga benar2 terjaga dari mimpi tersebut. Terima kasih sayangku kerana mengejutkan Ummi untuk temu janji bersama Allah. Lama Ummi mengalirkan airmata kesyukuran di atas nikmat ini sehinggalah fajar menjelang....
Beberapa pertemuan lagi selepas itu menggembirakan saya, tetapi pertemuan malam lepas adalah sebuah pertemuan yang sangat menggetarkan hati saya. Sebuah peringatan yang saya kira, disampaikan oleh Allah SWT dalam satu cara yang sangat menarik. Melalui alam mimpi, dan melalui pertemuan dgn khalifah kecil yang kini semakin dirindui dan dinanti2. Saya bermimpi melahirkan sang khalifah dalam ketiadaan bidan, walaupun telah ditunggu2 sekian lama. Namun sang khalifah tidak dapat menahan detik yang ditetapkan Allah sebagai permulaan usianya di alam dunia ini, maka dia keluar dengan mudahnya meskipun tiada bidan yang menyambut. Saya memegangnya dalam keadaan tali pusat masih bersambung, dan suami saya mengazan serta mengiqamatkannya dalam keadaan tersebut juga. Meskipun dalam keadaan demikian, kami merasakan kelahirannya amat mudah sekali, dan saya tidak merasakan kesakitan seperti yang digambarkan. Maka kami bersyukur di atas nikmat ini....
Kembara mimpi diteruskan pada sebuah situasi berbeza. Saya, suami dan si kecil kini seolah2nya sedang berada di sebuah kedai makan. Sang suami memesan makanan, sedang saya mengajarkan si kecil beberapa kalimah....yang pertama 'Allah'. Sang khalifah mengulangi sebutan tersebut dengan mudah. Saya sangat gembira, lantas mengajarkannya sebutan kedua 'Allahu Akbar'. Sekali lagi, dalam pelat seorang bayi, si kecil mengikuti dengan baik. Saya begitu gembira...maka saya cuba mengajarkannya kalimah syahadah. 'Asyahadu alla....' sebutan ini dipintas oleh sang bayi yang terus mengulanginya sebelum sempat saya menyudahkannya...dia menyambungkan sehingga habis...'Asyahadu alla ilaha illlah wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah'....saya terpaku, terkejut dan begitu hairan sekali. Menjawab kehairanan saya, sang khalifah kecil lantas berkata2: 'Ummi, setiap yang 'menjadi' perlu pegang dan ingat kalimah ini'. Yang mana terus saya fahami dalam mimpi tersebut, bahawa kalimah syahadah ini adalah kalimah yang tidak dilupakan oleh setiap yang ditiupkan rohnya, dan ditaqdirkan lahir ke dunia ini kerana inilah janji yang telah terpatri sebagai syarat untuk dihidupkan di alam rahim dan dilahirkan ke dunia ini....dengan kalimah inilah seharusnya seorang manusia hidup, dan di atas kalimah inilah dia berjuang....menitis airmata saya kerana diberikan peringatan sebegitu rupa...
Ya Allah, teguhkanlah saya pada janji yang telah saya ikrarkan. Bantulah saya untuk menjaga syahadatul haq ini, dan sepertimana Engkau mengizinkan saya lahir ke dunia ini di atas kalimah ini, maka bantulah saya memelihara kalimah ini di dalam dada saya, serta ambillah saya kembali dengan keadaan saya bersaksi penuh serta telah menunaikan haq kalimah ini dengan seluruh kemampuan yang ada. Kurniakanlah saya zuriat yang tidak pernah sekali pun melupakan kalimah ini, malah menjadikan seluruh kehidupannya berpaksikan kalimah ini, serta berjuang untuknya. Amin ya rabbal 'alamin....
Asyahadu alla ilaha illlah, wa asyhadu anna Muhammadur Rasulullah.