Thursday, November 12, 2009

Jalan Kemenangan.. Ibadah kemudian Qiadah


Imam Al-Banna menulis:

Jalan Kemenangan.. Ibadah kemudian Qiadah


Demikianlah sepatutnya Ikhwan Muslimun


Saya bertemu seorang tua yang beruban yang sudah mula melangkah ke alam akhirat.. saya duduk bersamanya pada siang hari yang amat bermakna, di selubungi oleh kesucian rohani.. tampak jelas dari wajahnya dia seorang yang soleh, bertaqwa dan hatinya langsung berhubungan dengan Allah swt sekalipun dia tidak mendapat tempat di hati masyarakatnya..lalu saya berbual-bual dengannya.


Dia bertanya saya: 'Apa nama persatuan kamu?'


Saya menjawab: 'Sesungguhnya kami bukanlah persatuan, tetapi ikhwan -bersaudara- kerana Allah, kami bertemu di atas dasar aqidah dan fikrah dan berusaha untuk melaksanakannya di dalam diri kami, kemudian berusaha pula meyakinkan manusia lain... fikrah kami pula tidak lain melainkan untuk memahami Islam dan menyebarkannya kepada orang ramai!'.


Lalu dia menjawab: 'Cantik.. siapa yang mengajar kepada kalian di tempat kalian?'


Saya lalu menjawab: 'Kebiasaannya saya akan menyampaikan penerangan kepada ikhwan'.


Kemudian orang tua tadi terdiam seketika lantas melihat tepat kepadaku dan bertanya: 'Adakah kamu mengerjakan solat malam (qiamullail)?'.... Saya bertanyanya kembali..: 'Apa yang tuan harapkan dari jawapan saya terhadap soalan tuan? Sedangkan diri kita berada dalam genggaman Allah swt, sekiranya Dia mahu dibangunkan kita, begitulah sebaliknya sekiranya Dia mahu Dia boleh matikan kita.'


Orang tua tadi menjawab: 'Benarlah Allah dan RasulNya dan manusia itu amat gemar berbantah-bantah....'


Ya akhi, Sesungguhnya tarbiah diri, mensucikan jiwa serta memandu hati-hati, tidak akan diraih melalui lafaz-lafaz yang diulang-ulang, kaedah-kaedah yang diajarkan dan tidak dengan teori-teori yang disampaikan... kalaupun ia bermanafaat untuk akal dan ilmu, ia sebenarnya terpisah dari perasaan dan rohaniah, sedangkan manusia amat berhajat kepada kemurnian jiwa dan akhlak mulia. Mereka yang berusaha' mengislah' manusia melalui penulisan semata-mata adalah tertipu kerana ia tidak akan sampai kepada objektif yang diharapkan.


Ya akhi, tiada makna usaha 'pengislahan diri' yang dilaungkan melainkan melalui hanya satu jalan; jalan qudwah hasanah yang berhubungan langsung dengan Allah swt.. kurniaanNya. Qudwah yang dimaksudkan itu ialah ibadat di malam hari, qiamullail, munajat dinihari.. Baca dan dengarlah firman Allah swt:


يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (1) قُمْ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلاً (2) نِصْفَهُ أَوْ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلاً (3) أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلْ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً (4) إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيلاً (5) إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلاً (6)المزمل



Ya akhi, orang yang tidak punyai apa-apa dia tidak akan mampu memberi... Hati yang terputus hubungan dengan Allah tidak mungkin boleh menghubungkan orang lain kepada Allah .Peniaga yang tidak mempunyai modal tidak akan mampu meraih keuntungan. Guru yang jahil tentang method pengajarannya tidak akan mampu mengajar orang lain. Orang yang lemah dalam memimpin dirinya sendiri tidak akan mampu memimpin orang lain. Alangkah berhajatnya kalian semua kepada jihad seumpama ini !!! Kalau kalian mampu membawa mereka yang berjanji setia denganmu untuk beramal dengan semua ini, maka ia merupakan kejayaan yang amat besar. Lihatlah para sahabat Radiallahuanhum adalah 'Rahbaanan Billail Wa Fursaanan Bin nahaar'... di malam hari mereka adalah ahli ibadat dan di siang hari mereka adalah pahlawan yang gagah berani di medan... kurang satu antara keduanya akan memberi kesan kepada yang satu lagi.


Berusahalah kamu untuk memperolehi bekalan di malam hari untuk perjalananmu di siang hari yang penuh dengan pelbagai cabaran.....


Kemudian orang tua itu meminta izin untuk beredar. Dia bangkit dan berjalan dengan tongkatnya meredah kesesakan manusia di jalan raya, sedang saya mengiringi pemergiannya dengan hati yang penuh insaf sehingga dia hilang dari pandangan.


Ya Ikhwan:

Mungkin kamu berasa hairan mengapa saya bawakan bicara sebegini di dada akhbar kamu ini sedang kamu menanti-nanti saya berbicara mengenai masalah yang melanda dunia, derita yang dialami oleh umat Islam seluruhnya. Kamu mengharapkan saya menyatakan sikap, pendirian dan tindakan yang patut diambil oleh jamaah kita.

Dengarkanlah penjelasanku:

Sesungguhnya kamu ingin mencapai matlamat yang besar dan hebat. Oleh itu kamu mesti memahami dengan sebenar-benarnya bahawa dengan matlamat itu bererti kamu berada di atas satu garisan dan dunia seluruhnya berada di atas garisan yang berlawanan dengan kamu.

Kamu menghendaki Islam berkuasa. Dunia diperintah oleh jiwa-jiwa yang bersih suci, akhlak mulia yang melimpah dengan kebaikan, hati-hati yang penuh rahmat dan kasih sayang dan kesejahteraan memayungi alam semesta.


Manusia pula menghendaki kebendaan berkuasa, harta melimpah ruah, kemewahan tiada sempadan, perebutan yang tiada berkesudahan antara golongan kuat dan lemah. Yang kuat memangsakan yang lemah. Yang berkuasa sentiasa menang dan yang diperintah sentiasa kalah. Kemanusiaan tidak akan kenal erti keadilan, tidak akan mengecapi rahmat kasih dan sayang. Itulah yang manusia kehendaki berbanding dengan apa yang kamu kehendaki. Kamu berada di satu pihak, sedang dunia di satu pihak yang lain. Manusia berselindung di sebalik kedustaan, berinteraksi dengan tipu helah dan bermuka-muka. Mereka lari daripada menghadapi kenyataan. Pada hal kamu tidak mahu itu semua kerana kamu sentiasa bermuraqabah. Diri kamu dan amalan kamu sentiasa diperhati oleh yang Maya Mengetahui dan Maha Memerhati. Maka perbezaan antara kamu dengan manusia, jika kamu benar dengan apa yang kamu cita-citakan, sangat jauh dari segala sudut.


Bilangan kamu adalah sedikit. Keadaan kamu tertindas di muka bumi ini, fakir dari segi harta, kosong dari segi kekuatan. Maka tidak ada senjata kamu selain hubungan dengan Allah dan mengharap pertolongan dan bantuan daripadaNya serta keimanan yang mendalam terhadapNya. Apabila aspek ini kamu kuasai bererti kamu telah kuasai segala-galanya. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.” (Aali Imran:160)


Maka berusahalah untuk menjadi seperti itu. Jangan kamu tanya bagaimana? Sesungguhnya jalannya telah nyata. Jadilah kamu hamba-hamba sebelum kamu menjadi ketua. Dengan ibadah kamu akan jadi sebaik-baik qiadah. Awas! Jangan kamu terbalikkan isu ini sebagaimana yang dilakukan oleh manusia lain. Mereka mengejar kepimpinan sebelum mereka mensejahterakan aspek ibadah maka mereka tewas atau mereka berjaya mencapainya tetapi terumbang ambing di dalam melaksanakan amanahnya. Serapkan ke dalam diri kamu maksud Hadis Qudsi ini: ”Sesiapa yang menyakiti waliKu maka sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang dengannya. Seseorang hambaKu tidak menghampirkan diri kepadaKu dengan sesuatu sebagaimana ia menghampirkan diri dengan melakukan apa yang Aku fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah hambaKu itu menghampirkan dirinya kepadaKu dengan melakukan amalan-amalan yang sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya maka Aku adalah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangan yang dia menghulur dengannya, kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta padaKu akan Ku berikannya, jika dia memohon perlindungan denganKu akan Ku lindunginya”. (Al-Bukhari)


Dan ingat juga firman Allah yang bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (An-Nur:55)


Daripada Pusaka al-Banaa, dipetik dari surat khabar Ikhwan Muslimin, 25 R.Awwal 1356H bersamaan 4 July 1937M.


(Rujukan: Blog ISMA PJ)

No comments: