Wednesday, October 5, 2011

Pemergiannya...adakah terselit sesalan?

Hari ini, sepucuk lagi telegram saya terima.

Peringatan dari yang mulia dan yang sentiasa taat, hambaNya yang terpilih dan dikasihi, Izrail. Telegram-telegram lepas masih saya simpan kemas dan ingat intipatinya, malah baru sahaja saya ziarahi destinasi pertama seperti tertera dalam telegram tersebut cuti Aidilfitri yang lalu. Kehadiran telegram kali ini membawa saya kepada satu sesi renungan yang dalam, seperti mana yang sebelumnya. Kerana kisah insan yang diceriterakan dalam telegram ini, kerana tautan hati yang ada padanya, kerana secebis cita-cita yang tidak kesampaian.

Aneh kerana pertalian darah tiada antara kami, kalau pun ada pasti salasilahnya jauh. Pertautan kami adalah kerana mendiami kariah yang sama, juga pertalian persahabatan yang pernah dijalin dengan anaknya. Sekilas terbayang di benak saya, wajah lesunya, pakaian lusuhnya dan seluruh keperitan hidup yang ditanggungnya. Tidak jauh perasaan saya terhadapnya berbanding ibu saya, kerana mereka ada persamaan. Cuma Allah merezekikan kepada saya dan adik-adik sedikit kecemerlangan yang menghentikan kata nista manusia terhadap ibu dan keluarga saya. Tetapi tidak pada wajah lesu insan yang juga bergelar ibu ini. Rezekinya bukan pada harta atau kebanggaan ilmu, tetapi anak-anak ramai yang dicemburui orang yang tidak memilikinya. Maka, lemparan kata-kata dan pandangan yang serong adalah satu kewajipan yang menyertainya ke mana sahaja dia pergi.

Saya mengimbas kembali detik-detik bersamanya. Seorang ibu ini sentiasa berusaha menjalinkan silaturrahim dan menyebutkan bahawa ada pertalian saudara antara dia dan sekian sekian orang. Usaha ini diremehkan malah dicebik kerana kedhaifan hidupnya. Tiada siapa sudi mengakui mereka bersaudara dengannya, sedangkan hakikatnya dia adalah saudara aqidah seluruh umat Islam. Masih saya ingat bibir saya ketap kuat mendengarkan kata-kata nista ini sehingga membawakan saya untuk berkata, 'Maaf, itu ibu saudara saya'. Dan terbungkamlah manusia-manusia tersebut menahan malu. Mengapa malu di hadapan saya? Tidakkah kalian malu di hadapan Allah?

Wajah seorang ibu tua itu begitu berbekas di hati dan minda saya (gambar hiasan)

Seorang ibu ini juga seringkali dijauhi, tidak diundang dan kehadirannya ke majlis-majlis tidak disenangi. Saya selalu memerhatikannya dari ekor mata, tetapi apalah daya saya. Terselit di hati andai rezeki saya dilapangkan, bukan sahaja ibu saya, tetapi seorang ibu ini juga akan saya ringankan sedikit bebanan di bahunya. Kali terakhir saya memeluknya dan menegurnya, terkedu saya apabila wajahnya sayu sekali, matanya berkaca dan dia bertanya kepada saya, 'Kenalkah kamu pada makcik? Ingat lagi kamu pada makcik?' Mana mungkin saya lupakan! Saya mendapat tarbiyah dari kegigihan seorang ibu yang tabah ini!

Seorang ibu ini telah kembali kepada Allah SWT, mungkin dengan seluruh keinginan-keinginan terpendam dalam dadanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Tidak mengapalah, saya masih ingat sebuah hadith bahawa orang-orang yang diuji Allah dengan kesempitan rezeki akan diseru bangkit lebih awal, dan dikatakan bangkitlah orang-orang yang dadanya terpendam banyak keinginan namun dia bersabar atas rezekinya. Hari ini saya mengucapkan takziah kepada sang anak, sahabat saya. Sayu hati saya, dan terlintas sedikit rasa terkilan kerana tidak sempat saya melihat senyuman seorang ibu itu lagi atau menunaikan apa yang pernah saya ikrarkan dalam hati. Saya berdoa sahabat saya serta adik-beradiknya dapat menjadi anak yang soleh dan solehah agar doa-doa mereka tidak putus-putus hadir buat seorang ibu yang telah banyak berkorban untuk mereka seluruh hidupnya.

Telegram kali ini membekas dalam di hati saya sehingga saya terus menghubungi ibu saya semata-mata ingin mendengar suaranya. Semoga ibu saya dipelihara Allah dan diberikan kesihatan yang baik agar dapat saya berbakti kepadanya. Saya katakan yang saya kasih sekali pada ibu saya, kerana saya tidak ingin terselit sesalan andai perkataan ini tidak saya ucapkan sekarang...

Tuesday, October 4, 2011

sedetik diuji....


sedetik diuji dan dihadirkan kesedihan dalam liku2 dakwah...

pertamanya harus diseru kepada diri agar duduk sebentar, beriman sejenak (ijlis bina nu'man sa'ah). kalimah sayyidul istighfar adalah antara pelembut hati dan penyejuk jiwa yang paling baik dilafazkan lidah, direnungkan akal dan dihayati oleh hati.....oleh itu keduanya, hendaklah dibacakan kalimah ini, dihayati dengan sebenarnya. kesannya haruslah menyeliputi seluruh tubuh sehingga merasa tergetar dan mengalirkan airmata. keinsafan harus hadir dalam hati akan kekerdilan diri, akan hakikat kita ini seorang hamba. dalam hadith (riwayat Bukhari), Rasulullah SAW bersabda: 'Barangsiapa yang membaca doa ini di siang hari dan dia benar-benar meyakini ucapannya, lalu dia meninggal dunia di malam harinya, maka dia termasuk penghuni syurga'.

للَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لّا إِلَهَ إِلَّا أَنْت،

خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ،

وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْت،

أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْت،

أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ

عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي فَاغْفِر لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ

الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ


Maksudnya: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku. Tiada Ilah (sembahan) selain Engkau. Engkau telah menciptakan aku, dan aku adalah hambaMu dan aku selalu berusaha menepati ikrar dan janjiku kepadaMu dengan segenap kekuatan yang aku miliki. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku. Aku mengakui betapa besar nikmat-nikmatMu yang tercurah kepadaku; dan aku tahu dan sedar betapa banyak dosa yang telah aku lakukan. Oleh itu, ampunilah aku. Tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau

ketiganya, minda harus diimbas kembali keadaan lampau yang berlalu, termasuk dosa-dosa silam yang tidak pasti adakah terampun...dan detik2 Allah menyucikan diri, hidayah mengetuk hati dan dipertemukan dengan jalan para Nabi serta dimuliakan untuk memahami tanggungjawab menggalas risalah kenabian. harus diimbas dengan baik bagaimana Allah SWT menukarkan sahabat-sahabat lama kepada rakan seperjuangan dakwah yang lebih baik, bagaimana Allah menukarkan majlis-majlis lagha yang disertai kepada majlis-majlis zikrullah dan penuh kebaikan....harus diingat bagaimana Allah melimpahkan kebahagiaan, nikmat dan ketenangan dalam menghadapi dugaan kehidupan. menangislah sebanyaknya kerana nikmat yang amat besar ini. nikmat yang boleh ditarik pergi bila-bila masa sahaja. insafilah, hargailah kerana diri ini bukanlah yang terbaik di kalangan seluruh manusia untuk dipilih di kalangan mereka.

keempat, berdoalah. memintalah dengan penuh tadharru' dan keikhlasan. janganlah menyombongkan diri di hadapan Allah. setiap yang terjadi merupakan teguran buat diri, disampaikan oleh Allah melalui makhlukNya yang dipilih. jangan melihat kesalahan orang lain, tetapi cerminlah diri. mohonlah kemaafaan, rendahkanlah diri, setinggi mana pun kedudukanmu di kalangan masyarakat, dan sehebat mana pun mustawar dalam dakwah...istighfarlah di atas keterlanjuranmu, bersangka baiklah pada setiap orang dan belajarlah memaafkan orang lain. letakkan dirimu di tempat orang lain, maka akan lebih kau fahami situasi mereka, maka hatimu juga pasti akan lebih lembut dan boleh lebih terkesan. sungguh, dakwah ini kuncinya hikmah. jangan berputus asa mencari hikmah dan belajar berdakwah dengan berhikmah

kelima, ingatkanlah hati...janganlah bersedih (la tahzan), Allah sentiasa bersamamu (InAllaha ma'ana). jika ada benarnya apa yang kau lakukan disertai keikhlasan kepada Allah, kasihmu kepada rakan seperjuangan dakwah dan umat ini, maka serahkanlah kepada Allah. andai ada kesilapan di pihakmu, maka Allah pasti mendatangkan teguran kasih sayangNya. dengan ini kau akan lebih belajar, lebih faham...dan semoga akan terus dipilih di masa akan datang. jalan dakwah ini penuh liku...bukan hanya memendam rasa terhadap mereka yang tidak suka, tidak memahami dakwah dan amanahnya, tetapi sesama rakan seperjuangan juga pasti ada coretan pahit dan manisnya.

hati, bertabahlah! di saat kau melangkah ke jalan ini, telah diingatkan bahawa ianya bukan jalan yang ditaburi bunga2, malah dipenuhi duri2 yang bakal melukakan dan menyakitkan di sepanjang perjalanan. bertabahlah, perjalanan ini memang jauh tetapi sebenarnya masa hayatmu lah yang pendek sekali..

Sunday, September 25, 2011

Kesempurnaan akhlak antara didikan Syawal


Ramadhan yang telah berlalu mendidik erti kesabaran, ketundukan dan ketaatan, mujahadah melawan hawa nafsu serta mencanai keprihatian akan isu umat. Syawal pula membawa mesej kemenangan, kegembiraan dan kesyukuran terhadap semua nikmat yang dikecapi terutamanya nikmat iman dan Islam yang telah dimanifestasikan dengan penuh kesungguhan di sepanjang Ramadhan. Bicara Syawal biasanya dikaitkan dengan silaturrahim, dan ukhuwwah kerana kebiasaannya diraikan bersama seluruh ahli keluarga dan sahabat handai. Tidak asing juga dibicarakan tentang isu pembaziran serta adat keterlaluan masyarakat setempat menjelang Aidilfitri terutamanya menyentuh isu makanan serta tabiat makan berlebihan, perbelanjaan dan persiapan Aidilfitri yang berlebihan sehingga di luar kemampuan serta beberapa tradisi lain yang mengurangkan impak penghayatan terhadap didikan Syawal itu sendiri.

Telah bersabda Baginda yang mulia SAW:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” (HR: Malik, Ahmad dan Baihaqi)

Al-Quran juga telah berulang-kali menegaskan kenyataan Rasulullah SAW tersebut dalam beberapa ayat yang sudah terkenal dan disebut saban kali:

“Sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung” (Al-Qalam: 4)

“Dan sesungguhnya Rasulullah itu menjadi teladan yang baik untuk kamu dan untuk orang yang mengharapkan menemui Allah di hari kemudian dan yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzab: 21)

Jadi tidak ragu-ragu lagi, didikan akhlak merupakan didikan merentasi masa dan zaman yang senantiasa menjadi perhatian khusus Rasulullah SAW yang mulia, dan menjadi satu misi besar Baginda, juga seluruh umat Islam yang menjejaki langkah Baginda dan para sahabat. Syawal yang datang sejurus Ramadhan, dilihat sebagai satu bulan yang sebenarnya mendidik dan menuntut agar kita menitikberatkan kesempurnaan akhlak. Kalau semasa di bulan Ramadhan kita ibarat menyemai, mendidik diri dengan sikap sabar dan tabah menahan lapar dan dahaga, natijah daripada semaian ini seharusnya dapat dituai menjelang Syawal dengan konsistensi akhlak sabar dan ditambah lagi dengan kebaikan-kebaikan lain yang bercambah daripadanya. Kalau semasa di bulan Ramadhan kita dilatih keluar daripada kotak individualistik, serta prihatin dengan isu umat melalui pembayaran zakat, amalan bersedekah dan memberi makan orang berbuka, maka semasa Syawal harus kita suburkan dengan amalan menghormati serta memuliakan tetamu.

Menghormati serta memuliakan tetamu ini adalah satu akhlak yang sangat penting diwujudkan dalam diri individu muslim, tetapi seringkali diabaikan.

Rasulullah SAW pernah ditanya, “Apakah iman itu”? Maka baginda SAW menjawab: “Menghidangkan makanan dan mengucapkan salam”.

Hal ini tambah ditegaskan lagi oleh baginda SAW: “Tiada kebaikan bagi sesiapa yang tidak menerima tetamu”

Di sini jelas dilihat, menghormati serta memuliakan tetamu merupakan sebahagian tuntutan iman. Kalau kita susuri sirah Islam sendiri yang bermula dari Mekah dan bangsa Quraisy, dapat diperhatikan dan difahami mengapa bangsa Quraisy dipilih sebagai bangsa pendokong risalah bersama Nabi Muhammad SAW kerana meskipun di tengah kegelapan jahiliyah yang memekat, bangsa ini begitu cemerlang dengan akhlak terutamanya bila menerima dan meraikan tetamu. Tidakkah menjadi satu petunjuk yang jelas, bahawa akhlak yang satu ini amat besar pengiktibarannya di sisi Allah dan seharusnya menjadi perisai yang ampuh bagi umat Muslimin kerana meskipun bangkit bersama bangsa yang terkenal dengan akhlak ini, Rasulullah SAW masih berpesan dengan bersungguh-sungguh agar menghormati dan memuliakan tetamu!

Melihatkan rata-rata masyarakat Melayu hari ini, adakalanya kita merasa kesal dan sedih sekali apabila akhlak yang semudah ini diculaskan. Walhal bicara si tuan rumah penuh dengan intipati perjuangan, malah acapkali terdengar mengimpikan syahid dan terpilih dalam barisan dakwah tetapi apabila tetamu menyinggah, layanannya hambar dan penuh acuh tak acuh. Adakah kesibukan dakwah menculaskan baginda Rasulullah SAW dan para sahabat dari melayani tetamu? Tidak sama sekali! Tidakkah dibaca dalam kitab-kitab sirah betapa sahabat-sahabat menyembelih kambing, memasak dan meraikan tetamu dengan penuh kegembiraan meskipun mereka susah dan sangat berhajat untuk menyimpan harta buat diri dan keluarga sendiri? Belum cukupkah tergenang airmata membaca kisah sahabat yang menjamu tetamu dalam kesamaran cahaya agar dapat disangka si tuan rumah makan bersama semata-mata memuliakan tetamu!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghormati tetamu, maka dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku, maka dia memuliakan Allah dan sesiapa memarahi tetamu, maka dia marah kepadaku dan sesiapa yang marah kepadaku, maka dia memarahi Allah”.

Begitulah penegasan demi penegasan disebut berhubung akhlak melayani dan menghormati tetamu ini. Tidak mungkin seseorang muslim sejati dikenal tidak melayani tetamu sekali mana banyak pun ibadah lainnya atau sepetah mana sekali pun bicaranya. Dari aspek akhlak yang kecil ini, dilihat dengan jelas seolah-olah satu kayu ukur sejauhmana tarbiyah itu terkesan di hati dan berjaya membentuk akhlak mulia dalam diri. Syawal menuntut dan mendidik kita semua agar menyempurnakan latihan akhlak yang dibentuk sepanjang Ramadhan lepas, terutamanya dalam menghormati dan melayani tetamu. Dengan menghormati dan melayani tetamu, kita dapat mendidik jiwa agar menyemai sifat ithar (mendahulukan orang lain berbanding kepentingan diri) serta menjadi seorang yang lebih berjiwa besar. Habuan yang diperoleh dalam mengejar kesempurnaan akhlak ini bukan sekadar di dunia tetapi mendapat jaminan yang pasti di akhirat kelak sebagaimana yang diriwayatkan Abu Sa’id, katanya:

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap orang Islam yang memberikan pakaian kepada orang Islam lain yang tidak berpakaian, maka Allah akan memberikannya pakaian daripada pakaian hijau di syurga; dan setiap orang Islam yang memberi makan orang Islam lain yang dalam keadaan lapar, maka Allah akan memberikannya makanan daripada buah-buahan dari syurga. Setiap orang Islam yang memberi minum kepada orang Islam lain, maka Allah akan memberikannya minum daripada minuman yang termeterai bekasnya”.

Semoga di bulan Syawal ini ingatan terhadap tarbiyah di sepanjang Ramadhan tidak luput, malah disempurnakan sehingga membawa kepada penjelmaan spontan atau dikenal juga sebagai ‘akhlak’ yang sebati dalam jiwa.

Rasulullah SAW telah berpesan “Iman bukanlah angan-angan, tetapi sesuatu yang terpatri dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan” (HR: Ad-Dailami)

Wednesday, August 24, 2011

Airmata di akhir Ramadhan...



Malam tadi menyelak lembaran mushaf semasa solat tarawikh, saya melihat dengan kesayuan helaian yang makin menipis di belah kiri, menandakan bacaan telah menjejak ke Juz 23, makin mendekati Juz terakhir....begitu juga pagi ini saya menatap angka 24 di iCalendar, petak-petak menghampiri 30 sudah tidak begitu banyak...

Sungguh sebak di dada saya memikirkan detik Ramadhan hanya tinggal sebentar sahaja lagi. Ramadhan 1432H ini begitu sarat sekali dengan hadiah, kenangan, pengajaran dan kekuatan yang mengesani hati saya dan pastinya meninggalkan kesan yang begitu besar. Qiam bersama ahlul bait dan tazkirah seusai Subuh akhir-akhir ini terasa berbeza sekali dengan Qiam di awal minggu pertama Ramadhan dan pertengahannya....Allah! sudahkah terampun dosa-dosa kami di sepanjang Ramadhan ini? Cukupkah kami berusaha meraih redhaMu selama 24 hari ini? Adakah doa kami untuk menemuiMu, melihat wajahMu, bertemu RasulMu serta para sahabat dan pejuang agamaMu diterima dan dimakbulkan? Cukupkah usaha kami sedangkan selama ini kami banyak sekali menzalimi diri sendiri dan culas terhadap hak2Mu pada kami...

Allah....Allah....Allah!
Dalam rintihan sebegini, airmata tidak mampu diseka lagi, mengalir deras sekali. Beberapa wajah suci memandang dengan pandangan yang penuh tanda tanya. Sedihkah kakak ini? Mengapa menangis begitu sekali? Ada yang menghampiri memeluk erat dan bertanya mengapakah saya menangis, adakah ada kesedihan yang tidak dapat difahami? Saya tersenyum sambil menjawab, "Ramadhan dah hampir ke penghujung". Wajah suci mengerutkan dahi, tidak begitu mengerti atau perkaitannya dengan tangisan saya mungkin samar-samar. Ada juga yang bertanyakan saya, adakah saya merasa sedih mengenangkan sanak-saudara di Malaysia. Tersenyum juga saya, kerana bukan itu yang mengundang airmata dan gelora di hati...

Pulang ke rumah bertemu ahlul bait, rupa-rupanya hampir kesemua juga mengalami peristiwa yang sama. Mereka juga disapa wajah-wajah suci yang kehairanan dengan airmata yang mengalir deras dari kelopak mata mereka. Kami sama-sama tersenyum. Kerana dahulunya, kami juga merasa hairan melihat muslimah (terutama yang berbangsa Arab) menangis teresak-esak dalam tarawikh atau selepas berdoa. Namun kami mengerti kini, cinta dan rindu kepada hadiah Allah 'Ramadhan' ini telah hadir di hati. Maka, bukti kecintaan ini juga terzahir meskipun masih banyak lagi yang perlu diusahakan bagi meraih cinta ini.

Ramadhan 1432H merupakan Ramadhan yang begitu bermakna buat saya. Semoga ini bukan yang terakhir, kerana saya telah mula merindukannya....Semoga detik2 akhir Ramadhan yang bersisa ini dapat dioptimumkan sepenuhnya...


Taqabballahu minna wa minkum

Sunday, August 7, 2011

Sungguh, saya jatuh cinta kepada Abu Bakr!


Selama hayat ini, seawal usia mengenali Rasulullah SAW, sahabat akrabnya As-Siddiq juga telah diperkenalkan kepada saya. Betapa kesucian ukhuwwah dan kecintaannya yang mendalam kepada Rasulullah SAW dan keimanannya telah disebut sendiri oleh baginda:

'Jika ditimbang keimanan Abu Bakr dengan keimanan seluruh umat, nescaya akan berat keimanan Abu Bakr' (Hadith riwayat Al-Baihaqi).

Kata-kata ini cukup mengagumkan saya dan membuatkan saya sangat kasih kepadanya...Namun hari ini cinta saya bagaikan dibugarkan dengan begitu mendalam setelah saya membaca buku 'Akhlaq khulafa' ar-Rasul' (terjemahan: Keperibadian Khalifah Rasulullah) karangan Khalid Muhammad Khalid, bahagian I 'Dan tampillah Abu Bakar'

Penceritaan latarbelakang kehidupan Abu Bakr sebelum kerasulan Muhammad SAW begitu menarik hati saya. Memang saya pernah belajar bahawa sahabat agung ini tidak pernah menundukkan diri di hadapan berhala, tidak menjamah serta melakukan perkara terkeji serta Allah jalinkan ukhuwwah yang suci dengan Muhammad, Al-Amin yang mulia. Tetapi saya tidak pernah tahu bahawa sahabat agung ini juga mempunyai perjalanannya tersendiri dalam mencari Allah SWT. Perjalanan yang tulus ini juga disertai oleh ramai orang selain Abu Bakr, meskipun Muhammad masih belum dimahkotakan dengan kemuliaan wahyu dan risalah dari Allah.

Diceritakan bagaimana Abu Bakr menyerahkan seluruh hati dan akalnya kepada hikmah dan ungkapan-ungkapan daripada para manusia soleh yang masih mewarisi agama Nabi Ibrahim seperti Warqah bin Naufal, Zaid bin 'Amr dan Qus bin Sa'idah. Betapa kuat ingatan dan himmah (keinginan) serta keazamannya dalam pencarian Rabbul 'Alamin sehingga Abu Bakr menghafal banyak pidato, syair dan ucapan-ucapan daripada manusia-manusia soleh yang turut berjalan dalam pencarian kepada satu-satunya Ilah yang layak disembah. Antara yang begitu menarik hati saya adalah seruan dakwah Zaid bin 'Amr bin Nufeil di hadapan Kaabah:

'Hai Kaum Quraisy!'
'Demi Dzat yang nyawa saya berada dalam tanganNya, tak seorang pun di antara kalian yang masih mengikuti agama Ibrahim dan Ismail sepeninggalnya. Dan sungguh, saya sedang menunggu-nunggu kedatangan seorang Nabi keturunan Ismail, yang saya rasa, saya takkan sempat bertemu dengannya'.

Kemudian dilihatnya 'Amr bin Rabi'ah, maka dipanggilnya seraya berkata:
'Hai 'Amr bin Rabi'ah, jika umurmu panjang, sampaikanlah salam saya kepadanya!'

Dalam peristiwa yang lain, keimanan semakin membuak-buak dalam diri Abu Bakr apabila dilihatnya Zaid bin 'Amr berseru sekeras-kerasnya di hadapan orang-orang yang sedang mengelilingi Kaabah tanpa sedikit pun rasa gentar:

'Ya Rabbi! Saya terima suatu kebenaran itu sebagai kebenaran. Saya beribadat dan memperhambakan diri hanya kepadaMu. Saya berlindung kepada Dzat yang menjadi tempat berlindung Nabi Ibrahim. Dan saya serahkan diri saya kepada Dzat tempat bumi menyerahkan dirinya, yakni bumi yang dihamparkanNya dengan membawa batu-batuan yang tak terkira jumlahnya yang kemudian dijadikanNya gunung-gunung untuk mengukuhkan kedudukannya. Dan saya serahkan diri saya kepada Dzat tempat awan menyerahkan dirinya, yakni awan hitam yang membawa air, yang sejuk dan tawar rasanya'

Ungkapan ini mengundang cetusan hati sahabat mulia Abu Bakr:
'Demi Tuhan Ibrahim, inilah sebenarnya yang hak! Tetapi bagaimana caranya? Serta bilakah kita akan beroleh keyakinan terhadapNya?

Kesungguhan Abu Bakr dalam meneguhkan iman dan menemukan cinta Allah ini tidak sekadar ungkapan di hati, tetapi pencarian yang tidak bertepi, tidak berputus asa dan dengan seluruh nikmat kekayaan yang dimilikinya, Abu Bakr melaburkannya demi mendapatkan hikmah-hikmah yang mampu memandunya lebih hampir kepada Allah. Dalam urusan perniagaannya di luar Mekah juga, Abu Bakr mengambil kesempatan menemukan para rabib, ahlul kitab dan orang-orang soleh yang beriman dengan Nabi Ibrahim. Dipelajari dan diimaninya sungguh-sungguh akan kedatangan Nabi yang akan mampu membawanya kepada Allah!

Sehinggalah datang mimpi yang mulia sewaktu Abu Bakr di Syria. Dia melihat bulan telah meninggalkan tempatnya di ufuk tinggi turun ke Mekah, kemudian terpecah-pecah tersebar ke seluruh gedung dan rumah. Kepingan tersebut bertaut kembali dan menjadi sempurna semula, kemudian bertengger di bilik Abu Bakr. Terjaganya dari mimpi, sahabat mulia ini menemukan seorang pendeta soleh yang berseri-seri wajahnya mendengarkan mimpi tersebut. Pendeta itu mengiyakan sangkaan Abu Bakr bahawa Nabi yang ditunggu-tunggu itu telah tiba. Kata pendeta itu lagi: 'Anda akan beriman kepadanya dan akan menjadi orang yang paling berbahagia kerananya'

Allahu Akbar! Sungguh saya terkedu dengan kisah ini! Saya meneruskan pembacaan sehinggalah Abu Bakr kembali ke Mekah, dibawakan kepadanya berita Muhammad mendakwa dirinya Rasul dan orang-orang Quraisy dalam keadaan tegang dan tidak tentu arah dengan seruannya agar meninggalkan tuhan-tuhan berhala mereka. Airmata saya yang bertakung melimpah tatkala melihat keutuhan iman Abu Bakr, lebih-lebih lagi dialog yang diucapkan di hadapan Rasulullah, setelah dia bergegas menuju ke rumah baginda.

'Benarkah apa yang disampaikan oleh orang-orang itu wahai teman sebangsa?' tanya Abu Bakr
'Apa yang mereka sampaikan kepada kamu?' bertanya RasulNya yang mulia.
'Kata mereka, Allah telah mengutus kamu kepada kami agar kami mengibadahiNya dan tidak mempersekutukanNya dengan apa pun juga?'
'Dan apa jawapan kamu kepada mereka, wahai 'Atiq?' tanya Rasulullah.
'Kata saya kepada mereka: Jika demikian maka benarlah ia'.

Mendengarkan kata-katanya, airmata Rasulullah SAW bercucuran...Dipeluknya erat sahabat mulia itu, diciumnya kening Abu Bakr lantas diceritakan peristiwa penurunan wahyu di Gua Hira' dan dibacanya wahyu Allah. (Surah Al-'Alaq). Abu Bakr menundukkan kepalanya sebagai penghormatan dan mendengarkan dengan mata hatinya yang suci. Kemudian diangkatnya kepala dan digenggam erat tangan Rasulullah SAW seraya berkata:

'Saya bersaksi bahawa kamu adalah seorang yang benar dan terpercaya. Saya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan saya bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasulullah'

Saya membacakan petikan-petikan menarik Bahagian I ini kepada adik usrah saya dan kami sama-sama merasakan satu kekuatan luar biasa! Hadiah Allah buat kami di waktu Sahur Ramadhan ke-7! Allahu Akbar!

Banyak sekali pengajaran yang kami kutip dan bincangkan bersama. Antaranya:

1) Benarlah janji Allah bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu merubahnya sendiri. Abu Bakr R.A. yang saya kenali sebelum ini, saya sangkakan adalah manusia terpilih yang Allah tumpahkan hidayah kepadanya dengan keadaan luarbiasa semata-mata kerana jiwanya yang suci. Tetapi membaca betapa sahabat mulia ini mencari hakikat penciptaannya, berusaha kembali kepada Allah sebelum kenabian Muhammad, menginsafkan kami bahawa setiap manusia dibentangkan kepadanya pilihan, dan berbahagialah sesiapa yang membuat pilihan untuk kembali kepada Allah

2) Rantaian Islam tidak pernah terputus, dalam kegelapan pekat jahiliyah yang bagaimana sekalipun, seperti mana sumber-sumber ilham dan hikmah Abu Bakr banyak dikutip daripada orang-orang soleh yang beriman sesungguhnya pada agama Nabi Ibrahim yang benar, menunggu-nunggu kedatangan Nabi yang tidak diketahui bilakah masanya dalam keadaan kecamuk jahiliyah yang deras. Betapa hal ini menguatkan kami untuk menunggu-nunggu kemenangan Islam yang dijanjikan meskipun kelihatan gelap pekat adakalanya zaman yang kami diami ini, selagi masih ada jiwa-jiwa yang berhubung terus dengan Allah, selagi itu rantai Islam ini tidak pernah putus. Dalam setiap keadaan juga, sejarah membuktikan akan ada manusia-manusia yang Allah ilhamkan untuk berdakwah, maka semoga kami terpilih sebagai para daieNya!

3) Tadabbur alam mampu menguatkan iman dan membawa kita kembali kepada Allah. Betapa dalam jahiliyah yang pekat tanpa wahyu, manusia-manusia soleh seperti Zaid bin 'Amr menyeru kepada Allah dengan melihatkan alam, menyebut-nyebut alam dan mengimani ketundukan alam kepada Allah. Alangkah indahnya! Kehidupan seorang muslim itu juga haruslah seiring dengan alam kerana seluruh alam dan isinya ini beriman serta tunduk kepada Allah....

Berbahagialah wahai sahabat agung Abu Bakr. Membaca kisahmu di permulaan sahaja cukup mengesani jiwa, apatah lagi mendalami kehebatanmu selepas Islam. Allahu Akbar! Saya bersaksi kepada kebenaran Abu Bakr, dan saya amat mengaguminya...Ya Allah, semoga kami termasuk dalam penghuni syurga Firdaus, dan semoga dapat kami temui sahabat agung ini dan menyampaikan salam serta kecintaan kami kepadanya!