Sunday, September 25, 2011

Kesempurnaan akhlak antara didikan Syawal


Ramadhan yang telah berlalu mendidik erti kesabaran, ketundukan dan ketaatan, mujahadah melawan hawa nafsu serta mencanai keprihatian akan isu umat. Syawal pula membawa mesej kemenangan, kegembiraan dan kesyukuran terhadap semua nikmat yang dikecapi terutamanya nikmat iman dan Islam yang telah dimanifestasikan dengan penuh kesungguhan di sepanjang Ramadhan. Bicara Syawal biasanya dikaitkan dengan silaturrahim, dan ukhuwwah kerana kebiasaannya diraikan bersama seluruh ahli keluarga dan sahabat handai. Tidak asing juga dibicarakan tentang isu pembaziran serta adat keterlaluan masyarakat setempat menjelang Aidilfitri terutamanya menyentuh isu makanan serta tabiat makan berlebihan, perbelanjaan dan persiapan Aidilfitri yang berlebihan sehingga di luar kemampuan serta beberapa tradisi lain yang mengurangkan impak penghayatan terhadap didikan Syawal itu sendiri.

Telah bersabda Baginda yang mulia SAW:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” (HR: Malik, Ahmad dan Baihaqi)

Al-Quran juga telah berulang-kali menegaskan kenyataan Rasulullah SAW tersebut dalam beberapa ayat yang sudah terkenal dan disebut saban kali:

“Sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung” (Al-Qalam: 4)

“Dan sesungguhnya Rasulullah itu menjadi teladan yang baik untuk kamu dan untuk orang yang mengharapkan menemui Allah di hari kemudian dan yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzab: 21)

Jadi tidak ragu-ragu lagi, didikan akhlak merupakan didikan merentasi masa dan zaman yang senantiasa menjadi perhatian khusus Rasulullah SAW yang mulia, dan menjadi satu misi besar Baginda, juga seluruh umat Islam yang menjejaki langkah Baginda dan para sahabat. Syawal yang datang sejurus Ramadhan, dilihat sebagai satu bulan yang sebenarnya mendidik dan menuntut agar kita menitikberatkan kesempurnaan akhlak. Kalau semasa di bulan Ramadhan kita ibarat menyemai, mendidik diri dengan sikap sabar dan tabah menahan lapar dan dahaga, natijah daripada semaian ini seharusnya dapat dituai menjelang Syawal dengan konsistensi akhlak sabar dan ditambah lagi dengan kebaikan-kebaikan lain yang bercambah daripadanya. Kalau semasa di bulan Ramadhan kita dilatih keluar daripada kotak individualistik, serta prihatin dengan isu umat melalui pembayaran zakat, amalan bersedekah dan memberi makan orang berbuka, maka semasa Syawal harus kita suburkan dengan amalan menghormati serta memuliakan tetamu.

Menghormati serta memuliakan tetamu ini adalah satu akhlak yang sangat penting diwujudkan dalam diri individu muslim, tetapi seringkali diabaikan.

Rasulullah SAW pernah ditanya, “Apakah iman itu”? Maka baginda SAW menjawab: “Menghidangkan makanan dan mengucapkan salam”.

Hal ini tambah ditegaskan lagi oleh baginda SAW: “Tiada kebaikan bagi sesiapa yang tidak menerima tetamu”

Di sini jelas dilihat, menghormati serta memuliakan tetamu merupakan sebahagian tuntutan iman. Kalau kita susuri sirah Islam sendiri yang bermula dari Mekah dan bangsa Quraisy, dapat diperhatikan dan difahami mengapa bangsa Quraisy dipilih sebagai bangsa pendokong risalah bersama Nabi Muhammad SAW kerana meskipun di tengah kegelapan jahiliyah yang memekat, bangsa ini begitu cemerlang dengan akhlak terutamanya bila menerima dan meraikan tetamu. Tidakkah menjadi satu petunjuk yang jelas, bahawa akhlak yang satu ini amat besar pengiktibarannya di sisi Allah dan seharusnya menjadi perisai yang ampuh bagi umat Muslimin kerana meskipun bangkit bersama bangsa yang terkenal dengan akhlak ini, Rasulullah SAW masih berpesan dengan bersungguh-sungguh agar menghormati dan memuliakan tetamu!

Melihatkan rata-rata masyarakat Melayu hari ini, adakalanya kita merasa kesal dan sedih sekali apabila akhlak yang semudah ini diculaskan. Walhal bicara si tuan rumah penuh dengan intipati perjuangan, malah acapkali terdengar mengimpikan syahid dan terpilih dalam barisan dakwah tetapi apabila tetamu menyinggah, layanannya hambar dan penuh acuh tak acuh. Adakah kesibukan dakwah menculaskan baginda Rasulullah SAW dan para sahabat dari melayani tetamu? Tidak sama sekali! Tidakkah dibaca dalam kitab-kitab sirah betapa sahabat-sahabat menyembelih kambing, memasak dan meraikan tetamu dengan penuh kegembiraan meskipun mereka susah dan sangat berhajat untuk menyimpan harta buat diri dan keluarga sendiri? Belum cukupkah tergenang airmata membaca kisah sahabat yang menjamu tetamu dalam kesamaran cahaya agar dapat disangka si tuan rumah makan bersama semata-mata memuliakan tetamu!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghormati tetamu, maka dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku, maka dia memuliakan Allah dan sesiapa memarahi tetamu, maka dia marah kepadaku dan sesiapa yang marah kepadaku, maka dia memarahi Allah”.

Begitulah penegasan demi penegasan disebut berhubung akhlak melayani dan menghormati tetamu ini. Tidak mungkin seseorang muslim sejati dikenal tidak melayani tetamu sekali mana banyak pun ibadah lainnya atau sepetah mana sekali pun bicaranya. Dari aspek akhlak yang kecil ini, dilihat dengan jelas seolah-olah satu kayu ukur sejauhmana tarbiyah itu terkesan di hati dan berjaya membentuk akhlak mulia dalam diri. Syawal menuntut dan mendidik kita semua agar menyempurnakan latihan akhlak yang dibentuk sepanjang Ramadhan lepas, terutamanya dalam menghormati dan melayani tetamu. Dengan menghormati dan melayani tetamu, kita dapat mendidik jiwa agar menyemai sifat ithar (mendahulukan orang lain berbanding kepentingan diri) serta menjadi seorang yang lebih berjiwa besar. Habuan yang diperoleh dalam mengejar kesempurnaan akhlak ini bukan sekadar di dunia tetapi mendapat jaminan yang pasti di akhirat kelak sebagaimana yang diriwayatkan Abu Sa’id, katanya:

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap orang Islam yang memberikan pakaian kepada orang Islam lain yang tidak berpakaian, maka Allah akan memberikannya pakaian daripada pakaian hijau di syurga; dan setiap orang Islam yang memberi makan orang Islam lain yang dalam keadaan lapar, maka Allah akan memberikannya makanan daripada buah-buahan dari syurga. Setiap orang Islam yang memberi minum kepada orang Islam lain, maka Allah akan memberikannya minum daripada minuman yang termeterai bekasnya”.

Semoga di bulan Syawal ini ingatan terhadap tarbiyah di sepanjang Ramadhan tidak luput, malah disempurnakan sehingga membawa kepada penjelmaan spontan atau dikenal juga sebagai ‘akhlak’ yang sebati dalam jiwa.

Rasulullah SAW telah berpesan “Iman bukanlah angan-angan, tetapi sesuatu yang terpatri dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan” (HR: Ad-Dailami)

1 comment:

Anonymous said...

generic valium valium 5 mg y alcohol - safe buy valium online uk