Monday, March 8, 2010

Gambaran ringkas sebuah rumahtangga muslim


Usaha mengembalikan syariat Allah swt di bumiNya ini memerlukan amal yang berterusan, bermula dari pembentukan peribadi muslim, baitul muslim, masyarakat muslim, negara Islam hingga seluruhnya tunduk kepada sistem perundangan Islam.

Bicara kita kali ini adalah di tahap baitul muslim atau rumah tangga muslim.

Sebuah rumah tangga muslim, dianggotai oleh seorang suami, isteri dan anak-anak, juga ahli keluarga terdekat. Masing-masing punya peranan tersendiri, di mana suami sebagai ketua atau pemerintah, isteri pula sebagai menteri yang membantu ketua sedang anak-anak sebagai rakyat. Ia adalah merupakan kesinambungan dari pembentukan peribadi muslim. Oleh itu, suami isteri pada tahap ini adalah merupakan pasangan yang telah melalui proses tarbiyah.

Melangkah ke medan ini dengan penuh tawakkal untuk menyempurnakan sebahagian dari agama, berazam melahirkan dan mendidik generasi pewaris, memastikan prestasi dakwah terus meningkat dari semasa ke semasa, bersifat proaktif dan produktif. Semua ini memerlukan kepada beberapa perkara asas yang mesti dimiliki oleh warga rumahtangga tersebut, terutama pasangan pemerintah dan menterinya.

1. Hubungan Mawaddah dan Sakinah

Allah swt menjanjikan bagi setiap pasangan itu mawaddah dan sakinah sebagaimana firmanNya dalam Surah Ar-Rum ayat 21,

وَمِنۡ ءَايَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَڪُم مَّوَدَّةً۬ وَرَحۡمَةً‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ

Mafhumnya:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Kehangatan dan keintiman rumahtangga adalah keperluan yang asasi untuk penerusan dakwah. Ianya boleh tercapai dengan intimnya setiap pasangan dengan Rabbnya. Kasih sayang antara mereka adalah kerana Allah Taala, isteri menjadi tempat untuk mendapat ketenangan, manakala suami menjadi tempat si isteri melaksanakan ketaatan, mendapat bantuan dan pertolongan.

2. Kepercayaan yang tinggi pada pasangan

Suami isteri perlu saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Perasaan ini akan merawat berjuta penyakit hati, sekaligus dapat menenangkan emosi, lebih-lebih lagi bila suami berjauhan ke luar kawasan atas urusan misi dakwah mahupun kerjaya. Isteri mengiringi dengan doa keselamatan dan kejayaan buat suami, begitulah sebaliknya.

3. Penghargaan dan sanjungan

Setiap pasangan mesti saling menghargai antara satu sama lain. Penghargaan kepada isteri yang sanggup mengandung dan melahirkan anak-anak penyejuk mata, berjaga malam melayan anak-anak atau menyiapkan kerja-kerja rumah yang tak pernah selesai. Begitulah sebaliknya, sanjungan buat suami yang kerananyalah anak itu wujud, susah payah mencari nafkah dan rezeki buat keluarga serta berusaha membahagiakannya.

4. Lengkap melengkapi antara satu sama lain

Allah telah menjadikan dua insan ini berbeza, dari pembentukan fizikal mahupun emosinya, sesuai dengan tugas dan peranan yang berbeza bagi setiap mereka. Maka sayugianyalah, setiap pasangan memahami tugas masing-masing dan berusaha melengkapi antara satu sama lain, serta berusaha memahami watak-watak yang berbeza ini. Cari titik pertemuan yang menyenang dan membahagiakan, lupakan perbezaan yang menjauhkan hati dan memeranakan diri.

Sesungguhnya hidup berpasangan ini sangat indah dan cukup membahagiakan, andai ianya dibajai dengan kasih sayang berlandaskan perintah dan suruhan Allah. Sehingga bisa rindu bila berjauhan tak sanggup rasanya berpisah walau seketika. Namun pepatah Melayu ada mengungkapkan, ‘sayangkan anak, tangan-tangankan, sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan’. Sejauh mana kebenarannya, cubalah sendiri…

Berkasih sayang dan bercintalah dengan pasangan anda hingga ke syurga Allah yang menjanjikan kebahagian abadi tanpa ada ganggu gugat dari anasir-anasir lain…

Suasana Rumahtangga Muslim haruslah memiliki ciri-ciri seperti di bawah:

1.. Ahlinya mengenal Allah swt

Setiap ahlinya mengenal Allah dan masing-masing mengajak kepada Allah. Akhlak masing-masing indah sebagai penyejuk mata tika memandang. Lihat suami, ingat Allah, lihat isteri, ingat Allah, tengok anak-anak juga teringatkan Allah swt. Bacaan Al Quran sering kedengaran, solat berjamaah menjadi amalan, puasa sunat menjadi kegemaran manakala rumah juga sering menjadi kunjungan.

Redha dengan ketentuan dan ketetapan Allah, tidak mengeluh dan berputus asa yang dimurkai Allah. Suami bersabar dengan kelemahan isteri, kerenah dan kenakalan anak-anak, kemerosotan ekonomi dan berbagai lagi. Manakala isteri bertolak ansur dengan kemampuan suami lalu kedua-duanya menjadikan semua itu sebagai asam garam yang mematangkan rumah tangga.Jadikan ia cabaran yang menguji cinta dan sayang kita, terutama bila kita diuji dengan kekurangan;

i. Anak sebagai penyejuk mata
ii. Kediaman yang lapang
iii. Kenderaan yang bagus
iv. Ekonomi yang mantap

Ahli keluarga yang mengenal Allah tidak menjadikan semua ini sebagai ukuran kebahagian rumah tangga. Semua itu sebagai wasilah untuk masing-masing beramal serta merasakan adanya ruang untuk melakukan kebaikan di bumi Allah ini. Walaupun dengan sekadar ‘kalimah tayibah’ yang keluar dari bibir masing-masing atau secebis senyuman penuh ikhlas.

2. Kediaman yang teratur

Rumah kediaman yang kemas tersusun dan teratur, setiap benda berada pada tempatnya dapat menyumbang pada ketenangan semua ahli keluarga. Maka masing-masing punya tugasan dan rasa tanggungjawab untuk memperelokkan keadaan rumah kediaman dan dilakukan dengan penuh disiplin dan rasa tanggung jawab. Juga kediaman perlulah jauh dari tempat penyebaran penyakit, tidak kotor dan mengundang bahaya.

3.. Makanan yang halal lagi baik

Makanan amat dititikberatkan dalam Islam kerana ia adalah punca diterima doa.

“Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah Maha Baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memerintahkan orang-orang yang beriman dengan apa yang telah diperintahkan kepada para rasul. Dia berfirman yang bermaksud: “Wahai para Rasul, makanlah daripada makanan yang baik dan halal. Serta lakukanlah amalan yang soleh” (al-Mu’minun: 51). Allah Ta’ala juga berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada makanan yang baik dan halal yang kami kurniakan kepada kamu” (al-Baqarah: 172).” Kemudian baginda menyebut tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya dan berdebu badannya. Lelaki itu mengangkat tangannya ke langit sambil berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia diberi makan makanan yang haram. Oleh itu bagaimanakah akan dikabulkan doanya itu?” (Riwayat Muslim).

Halal adalah keutamaan, manakala baik adalah pilihan, bersederhana menjadi pilihan. Oleh kerana banyak penyakit berpunca dari pemakanan, sebuah keluarga muslim mesti besederhana dalam perkara harus ini, walaupun kita berkemampuan.

Riadhah perlu menjadi rutin setiap ahli kerana menyedari bahawa kekuatan fizikal amat penting untuk melaksanakan perintah Allah swt. Fizikal yang kuat itu merupakan salah satu dari tuntutan Islam kerana mukmin yang kuat itu lebih Allah cintai dari mukmin yang lemah.

4. Pendidikan anak-anak menjadi agenda utama.

Allah mesti ditanamkan di hati mereka, tasawur langit mengatasi tasawur bumi. Kejayaan yang kita mahu pada anak-anak bukan pada kerjayanya sahaja, tetapi menjangkau kepada mereka menjadi pemimpin ummah, penerus risalah. Sebagaimana maksud firman Allah: “Ya Tuhan kami, kurniakan kepada kami isteri-isteri dan anak-anak kami sebagai penyejuk mata kami dan jadikan kami pimpinan orang-orang yang bertakwa…”

Anak-anak adalah merupakan asset ibu bapa yang akan mendoakan kita di dalam kubur kelak. Ini adalah satu kepastian, dan hanya doa dari anak-anak yang soleh yang akan diterima Allah. AWAS! Jangan tersilap mendidik anak!!!

Begitulah sedikit sebanyak yang dapat dilakarkan sebagai gambaran umum sebuah keluarga muslim. Setiap ahli mengenali Allah dan mengetahui peranan dan tanggung jawab masing-masing terhadap Tuhannya, dirinya serta masyarakatnya. Bermula dari keluarga muslim inilah akan berkembang menjadi satu masyarakat muslim yang harmoni.

Wallahu ‘alam.

Oleh: Ustazah Norhayati Ahmad Salleh,
ISMA Kuantan
Sumber: Blog Wanita ISMA Pahang

2 comments:

hazwani said...

salam kak diha.
saya nak link-kan blog akak dekat blog saya ye..
mintak dihalalkan sumer kat blog akak ni..
thanks :B

Anonymous said...

Thumbs up Jzkillahi khayran <3