Cinta juga menepati satu angka daripada perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang didefinisikan sebagai cetusan rasa daripada orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan mengganggu fitrah manusia.
Kesenian cinta didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat adalah lambang kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta sering kali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan hasutan iblis laknatullah.
Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah suci dan iman yang komited kepada Allah. Cinta sebenar adalah perasaan luar biasa lahir dari satu hati dan jiwa kepada hati dan jiwa yang lain. Justeru, tidak wujud cinta biasa, yang ada hanyalah cinta luar biasa kerana sesiapa memahami erti cinta, akan tahu hakikatnya yang luar biasa kerana kita akan mencintai orang lain lebih daripada seseorang itu mencintai dirinya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah." Dan cinta, apabila luar biasa, tentulah tidak sama dengan cinta yang tidak didasari oleh kecintaan kepada Allah.
Cinta luar biasa, semakin kita mencintai, makin kita cinta Allah. Permasalahan cinta dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini ialah pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spiritual malah membunuh solidariti dan menodai sosial. Individu Muslim sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta yang menguasai jiwa.
Cinta berteraskan nafsu dan syahwat adalah cinta palsu yang tidak akan ke mana-mana. Cinta kerana harta, adalah cintakan harta, cinta kerana pangkat adalah cintakan pangkat, cinta kerana keturunan adalah cintakan keturunan, bukannya cinta lahir dari hati yang ikhlas untuk bersama si dia sepanjang hayat.
Cinta harta sering membuat manusia menjadi lupa diri dan tanggungjawab. Harta jugalah sering menewaskan kekuatan pejuang. Justeru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Demi Allah, bukan kefakiran yang aku takut menimpa kamu, tetapi aku takut kamu dibentangkan dengan kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada umat pada zaman dulu, lalu kamu bergelumang dengan dunia dan merebutnya seperti mereka sebelum kamu lalu kamu binasa seperti mana mereka binasa."
Memiliki harta tidak dihalang syarak sebaliknya cinta harta itulah yang di pandang keji tetapi harta bermanfaat apabila ia menjadi alat bantu perjuangan menegakkan agama Allah. Firman Allah yang bermaksud:
"Berangkatlah sama ada ringan atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah, sedemikian itu terlebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (Surah At-Taubah, ayat 41)
Cinta pangkat dan kedudukan, jika turut melanda individu dalam gerakan Islam akan menyuburkan lagi persengketaan dingin yang melambatkan proses mencapai kemenangan. Kadangkala terfikir juga, untuk apa mengejar pangkat dan kedudukan sedang di akhirat kelak kita akan menjadi manusia hina dina?
Al Fudhail mengingatkan kita: "Kalaulah dunia ini terdiri daripada emas yang akan binasa dan akhirat dari tanah bakar (tembikar) yang kekal, sayugia kita memilih tanah bakar yang kekal berbanding emas yang binasa."
Kita harus tahu perasaan yang lahir dalam hati adakah ia mendorong kepada hidup bersama untuk mencapai reda-Nya atau sebaliknya?
Jika kita kenal pasti cinta untuk mendapatkan kemanisan iman, maka teruskanlah dengan sebuah perkahwinan, jika sebaliknya, percayalah bahawa cinta itu buta dan akan menggelapkan sebuah kehidupan. Jodoh hanya datang selepas kita berusaha ke arah itu kerana tidak ada kebenaran untuk mendapatkan mana-mana hak bersama sebagai suami atau isteri tanpa kebenaran sama ada tuan punya badan atau walinya.
Jangan menyalahkan jodoh semata-mata kerana ia tidak datang bergolek. Jodoh boleh diatur kerana ia hanyalah sebuah kejadian yang dirancang dengan izin-Nya, tetapi carilah cinta yang luar biasa.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)
Taken from blog: Khalif wa A'biduLLah...hihi...jzkk!!