Wednesday, February 29, 2012

Penyaksian kebenaran


Telah berkata Nabi Isa A.S ketika dia merasakan keingkaran Bani Israel: ''Siapakah yang akan menjadi penolong ku (untuk menegakkan agama) Allah?''

"Kamilah penolong (agama) Allah. Kami beriman kepada Allah, dan saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang muslim (tunduk patuh)'' Jawab para Hawariyyun (sahabat setia Nabi Isa A.S)

''Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang Engkau turunkan dan kami mengikuti Rasul, kerana itu tetapkanlah kami bersama golongan orang yang memberikan kesaksikan''

Surah Al-Imran: ayat 52-53

Petikan dialog dari mushaf suci ini membugarkan keheningan waktu akhir malam yang mendekati Subuh. Entah kenapa, fikiran saya melakarkan dialog yang serupa dihadapkan kepada saya dan sahabat-sahabat...tetapi kali ini oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Pandangan mata terus kabur kerana genangan air di kelopak mata dan getaran yang semakin memuncak di dada.

Apakah lidah ini akan mengalunkan kata-kata yang serupa dengan para Hawariyyun di atas? Ataukah akan membungkam sepi kerana tidak mampu berdepan dengan RasulNya dan memberikan kesaksian?

Lalu untuk apa saya menggelarkan diri sebagai umat Muhammad, sedangkan ummat Muhammad itu adalah 'ummatan wasata'- umat pertengahan, umat yang adil, umat yang menyambungkan risalah NabiNya, umat yang menjadi saksi kepada seluruh manusia lain...dan Nabi Muhammad SAW sendiri menjadi saksi ke atas perbuatan kami selaku penyaksi kebenaran.


Ya Allah, layakkah aku menggelarkan diriku penolong agamaMu?

Adakah aku menyeru manusia semata-mata kepadaMu ataukah terselit perasaan lain yang tidak kusedari?

Ya Allah, layakkan aku memberikan kesaksian di hadapan RasulMu?

2 baris ayat ini saya ulang-ulang, daripada bacaan di dalam hati sehinggalah dapat didengari oleh kedua-dua belah telinga. Sungguh Al-Quran ini mukjizat agung yang mampu menerbangkan roh ke satu alam penuh keajaiban, penuh kecintaan dan keasyikan. Rupanya inilah mihrab cinta para pejuang dan para sahabat Nabi yang telah memberikan kesaksikan dengan penuh bulat dan teguh. Fahamlah saya kini, meskipun mereka dipenjara atau disiksa, kesakitan pada jasad itu tidak menggoyahkan iman mereka kerana roh mereka bebas dan sedang menikmati keasyikan yang tidak terkata!

Allah! Ya Allah! Aku bersyukur kerana aku mengenaliMu, kerana aku mengenali RasulMu! Aku bersyukur kerana hari ini aku dapat membaca kalimahMu dengan lidah dan hatiku
Dan hari ini aku merasakan kebebasan pada roh dan jiwaku...


Ya Allah, aku ini hambaMu yang lemah, yang hina, yang masih berlumuran dosa dan khilaf Namun aku hadapkan diriku kepadamu...pilihlah Aku untuk menjadi penolong agamaMu...

Ya Rasululllah, aku ini pengikutmu, masih terlalu banyak pesanmu tidak aku ikuti.. Namun aku ingin bersamamu menjadi penolong agama Allah, maka saksikanlah bahawa aku beriman kepada Allah dan RasulNya!

Doa Hawariyyun berbekas di hati, dan dengan sisa kekuatan yang ada saya membacanya lagi, tetapi kali ini bukanlah untuk mengulangi doa para Hawariyyun, sebaliknya merupakan doa saya sendiri kepada Allah SWT:

''Ya Tuhanku, aku beriman kepada apa yang Engkau turunkan dan aku berusaha sedayaku mengikuti RasulMu, kerana itu tetapkanlah aku bersama golongan orang yang memberikan kesaksikan''


Monday, February 6, 2012

Mata. Lensa. Hati

Bismillahirrahmanirrahim....

Lama sungguh tak menjenguk blog ini. InsyaAllah satu ketika yang dilapangkan Allah SWT nanti, saya akan kembali berkongsi di sini.

Untuk kali ini, saya kongsikan blog terbaru saya & suami. Perkongsian dalam blog terbaru kami ini banyak berkisar kepada tadabbur alam dan melihat kebesaran Allah SWT melalui deria mata yang diciptakan. Kebesaran dan keagungan Allah SWT serta rahsia di sebalik penciptaan diri dan alam ini kami rakam dengan lensa kamera dan kami kongsi bersama, dengan harapan ianya menyentuh hati2 yang menatap tanda2 kebesaran Allah. Sungguh, pada penciptaan alam itu terdapat tanda2 kebesaran Allah bagi hati2 yang hidup serta akal yang berfikir. Saya persembahkan blog kami: MataLensaHati

Semoga mendapat manfaat. Salam Maulidur Rasul dari kami.