Wednesday, October 5, 2011

Pemergiannya...adakah terselit sesalan?

Hari ini, sepucuk lagi telegram saya terima.

Peringatan dari yang mulia dan yang sentiasa taat, hambaNya yang terpilih dan dikasihi, Izrail. Telegram-telegram lepas masih saya simpan kemas dan ingat intipatinya, malah baru sahaja saya ziarahi destinasi pertama seperti tertera dalam telegram tersebut cuti Aidilfitri yang lalu. Kehadiran telegram kali ini membawa saya kepada satu sesi renungan yang dalam, seperti mana yang sebelumnya. Kerana kisah insan yang diceriterakan dalam telegram ini, kerana tautan hati yang ada padanya, kerana secebis cita-cita yang tidak kesampaian.

Aneh kerana pertalian darah tiada antara kami, kalau pun ada pasti salasilahnya jauh. Pertautan kami adalah kerana mendiami kariah yang sama, juga pertalian persahabatan yang pernah dijalin dengan anaknya. Sekilas terbayang di benak saya, wajah lesunya, pakaian lusuhnya dan seluruh keperitan hidup yang ditanggungnya. Tidak jauh perasaan saya terhadapnya berbanding ibu saya, kerana mereka ada persamaan. Cuma Allah merezekikan kepada saya dan adik-adik sedikit kecemerlangan yang menghentikan kata nista manusia terhadap ibu dan keluarga saya. Tetapi tidak pada wajah lesu insan yang juga bergelar ibu ini. Rezekinya bukan pada harta atau kebanggaan ilmu, tetapi anak-anak ramai yang dicemburui orang yang tidak memilikinya. Maka, lemparan kata-kata dan pandangan yang serong adalah satu kewajipan yang menyertainya ke mana sahaja dia pergi.

Saya mengimbas kembali detik-detik bersamanya. Seorang ibu ini sentiasa berusaha menjalinkan silaturrahim dan menyebutkan bahawa ada pertalian saudara antara dia dan sekian sekian orang. Usaha ini diremehkan malah dicebik kerana kedhaifan hidupnya. Tiada siapa sudi mengakui mereka bersaudara dengannya, sedangkan hakikatnya dia adalah saudara aqidah seluruh umat Islam. Masih saya ingat bibir saya ketap kuat mendengarkan kata-kata nista ini sehingga membawakan saya untuk berkata, 'Maaf, itu ibu saudara saya'. Dan terbungkamlah manusia-manusia tersebut menahan malu. Mengapa malu di hadapan saya? Tidakkah kalian malu di hadapan Allah?

Wajah seorang ibu tua itu begitu berbekas di hati dan minda saya (gambar hiasan)

Seorang ibu ini juga seringkali dijauhi, tidak diundang dan kehadirannya ke majlis-majlis tidak disenangi. Saya selalu memerhatikannya dari ekor mata, tetapi apalah daya saya. Terselit di hati andai rezeki saya dilapangkan, bukan sahaja ibu saya, tetapi seorang ibu ini juga akan saya ringankan sedikit bebanan di bahunya. Kali terakhir saya memeluknya dan menegurnya, terkedu saya apabila wajahnya sayu sekali, matanya berkaca dan dia bertanya kepada saya, 'Kenalkah kamu pada makcik? Ingat lagi kamu pada makcik?' Mana mungkin saya lupakan! Saya mendapat tarbiyah dari kegigihan seorang ibu yang tabah ini!

Seorang ibu ini telah kembali kepada Allah SWT, mungkin dengan seluruh keinginan-keinginan terpendam dalam dadanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Tidak mengapalah, saya masih ingat sebuah hadith bahawa orang-orang yang diuji Allah dengan kesempitan rezeki akan diseru bangkit lebih awal, dan dikatakan bangkitlah orang-orang yang dadanya terpendam banyak keinginan namun dia bersabar atas rezekinya. Hari ini saya mengucapkan takziah kepada sang anak, sahabat saya. Sayu hati saya, dan terlintas sedikit rasa terkilan kerana tidak sempat saya melihat senyuman seorang ibu itu lagi atau menunaikan apa yang pernah saya ikrarkan dalam hati. Saya berdoa sahabat saya serta adik-beradiknya dapat menjadi anak yang soleh dan solehah agar doa-doa mereka tidak putus-putus hadir buat seorang ibu yang telah banyak berkorban untuk mereka seluruh hidupnya.

Telegram kali ini membekas dalam di hati saya sehingga saya terus menghubungi ibu saya semata-mata ingin mendengar suaranya. Semoga ibu saya dipelihara Allah dan diberikan kesihatan yang baik agar dapat saya berbakti kepadanya. Saya katakan yang saya kasih sekali pada ibu saya, kerana saya tidak ingin terselit sesalan andai perkataan ini tidak saya ucapkan sekarang...

2 comments:

Khalifah wa A'biduLLah said...

sedihnya... T_T semoga rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama ahli syurga seluruhnya

hurun een said...

huhu itulah...
moga Allah terimalah semua amalannya..dan jadikan teladan buat kita yg masih hidup.