Friday, July 17, 2009

Perjalanan penuh keajaiban


Alhamdulillah, Allah menyampaikan kita ke bulan Rejab...Sepertimana bulan2 Islam yang lain, bulan Rejab mempunyai kesan2 sejarahnya tersendiri, yang jika dihayati dengan mata hati, pasti dapat membawa kita kepada puncak keimanan dan keteguhan taqwa kepada Yang Maha Mencipta...Di bulan ini, berlaku satu peristiwa yang mencabar akal manusia, mengugah serta mengoyahkan keyakinan, dan benar2 terujilah keimanan manusia...maka terpisahlah yang haq dan yang batil....yang benar2 beriman dengan ketulusan seperti As-Siddiq, terus membenarkannya, tetapi yang rapuh dan ragu2, terus meninggalkannya...

Mari kita susuri peristiwa penuh keajaiban dan keindahan, malam yang tidak akan pernah berulang lagi, malam penuh berkah dan suci....malam di mana kekasihNya diperjalankan dengan kekuasaanNya...

Isra' Mi'raj


Pengertian sepintas lalu
Isra' adalah perjalanan di waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa (Baitul Maqdis/Palestin) dan pulang pada malam yang sama. Mi'raj adalah perjalanan Rasulullah S.A.W. naik ke alam tinggi. Jumhur ahli sunnah mengatakan peristiwa ini berlaku dengan jasad Rasulullah S.A.W. 'Aisyah mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W. tidak melihat Tuhannya. Peristiwa Isra' disebut dalam Al-Quran:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda2 (kekuasaaan) Kami. Sesungguhnya Allahlah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui"

(Al-Isra':1)


Perjalanan penuh keajaiban

Kisah Buraq
Diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Buraq dibawakan kepadaku. Buraq adalah binatang yang lebih besar daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal. Sekali melangkah, jauhnya sejauh mata memandang. Aku menunggangnya sehingga sampai di Baitul Maqdis. Aku menambatnya di tempat para nabi menambatkan kenderaan mereka...

Antara 2 pilihan
....Kemudian aku memasuki masjid dan bersembahyang 2 rakaat di dalamnya (Rasulullah solat dan mengimamkan para Nabi terdahulu). Selepas itu aku keluar. Jibril membawakan satu bekas susu yang mengandungi arak dan satu bekas lagi yang mengandungi susu. Aku memilih susu. Jibril berkata: "Kamu memilih fitrah"....

Naik ke langit
Langit pertama
Kemudian kami dimi'rajkan ke langit. Jibril meminta supaya pintu langit dibuka lalu ditanya: " Siapa kamu?" Jibril menjawab: " Aku adalah Jibril" Ditanya lagi: " Siapa yang bersamamu?" Jibril menjawab: "Muhammad" Ditanya lagi: "Adakah baginda telah diutuskan?" Jibril menjawab: "Baginda telah diutuskan". Maka pintu dibukakan untuk kami. Di situ aku berjumpa Nabi Adam A.S. Baginda mengalu2kan kedatangan aku dan mendoakan kebaikan untukku.

Langit kedua
Kemudian kami dimi'rajkan ke langit yang kedua. Jibril meminta supaya pintu dibuka. (Persoalan yang sama berulang seperti di langit pertama). Di situ aku berjumpa 2 orang sepupu sebelah ibuku, Nabi Yahya & Nabi Isa anak Maryam. Kedua2nya mengalu2kan kedatanganku dan mendoakan kebaikan untukku

Langit ketiga
Kami dimi'rajkan ke langit ketiga, peristiwa yang sama berulang. Di situ aku berjumpa dengan Nabi Yusuf A.S. Baginda telah dikurniakan dengan separuh kecantikan. Baginda mengalu2kan kedatanganku dan mendoakan kebaikan untukku

Langit keempat
Kemudian kami dimi'rajkan ke langit yang keempat. (Baginda menceritakan sebagaimana yang disebut sebelum ini). Di situ aku berjumpa Nabi Idris. Baginda mengalu2kan kedatanganku dan mendoakan kebaikan untukku.

Langit kelima
(Baginda menceritakan peristiwa yang sama). Di situ aku berjumpa Nabi Harun. Baginda mengalu2kan kedatanganku dan mendoakanku

Langit keenam
(Baginda menceritakan peristiwa yang sama). Di situ aku berjumpa Nabi Musa. Baginda mengalu2kan kedatanganku dan mendoakanku

Langit ketujuh
(Baginda menceritakan peristiwa yang sama). Di situ aku berjumpa Nabi Ibrahim yang sedang bersandar di Baitul Makmur. Seramai 70,000 malaikat memasukinya setiap hari dan mereka tidak kembali ke tempat mereka mula2 memasukinya.

Sidratul Muntaha
Baginda menceritakan: "Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun2nya seperti telinga gajah dan buahnya seperti kendi air. Apabila ia ditutup oleh perkara yang menutupnya disebabkan arahan Tuhanku, maka ia berubah. Tidak ada makhluk Allah yang dapat menggambarkan kecantikan dan keindahannya. Ketika itu Allah memfardukan kepadaku dan ummatku untuk solat 50 kali sehari semalam.

Perjalanan turun dari langit
Dalam perjalanan turun, Rasulullah bertemu Nabi Musa dan ditanya tentang apa yang difardukan buat ummatnya. Rasulullah menceritakan tentang fardhu solat 50 kali, dan Nabi Musa menasihatinya agar meminta dikurangkan. Rasulullah naik semula dan memohon agar Allah mengurangkannya. Peristiwa ini berulangan sehinggalah bilangan solat dikurangkan kepada 5 kali sehari. Masih juga Nabi Musa mengatakan bahawa ummat Muhammad tidak akan mampu menunaikannya dan memintanya kembali memohon agar dikurangkan.

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Aku sentiasa berulang-alik di antara Tuhanku dan Nabi Musa sehingga Allah berfirman: "Wahai Muhammad! Sesungguhnya 5 solat sehari semalam. Bagi setiap solat menyamai 10 solat. Dengan itu ia menjadi 50 solat. Sesiapa yang bercita2 melakukan 1 kebaikan, dan tidak melakukannya, Aku tulis untuknya 1 kebaikan dan jika dia melaksanakannya, Aku tulis untuknya 10 kebaikan. Sesiapa yang bercita2 melakukan 1 kejahatan, dan tidak melakukannya, Aku tidak akan menulis sesuatupun untuknya. Sesiapa yang bercita2 melakukan kejahatan dan melakukannya, Aku tulis untuknya 1 kejahatan". Apabila Rasulullah menemui Nabi Musa untuk kali terakhirnya, baginda bersabda:"Aku telah pergi mendapatkan Tuhanku sehingga aku merasa malu kepadaNya"

Kepulangan dan pembenaran As-Siddiq
Rasulullah S.A.W. pulang pada malam yang sama ke Mekah dan keesokannya baginda telah pergi ke tempat perhimpunan orang2 Quraisy. Abu Jahal datang kepadanya dan Rasulullah telah menceritakan apa yang berlaku. Lalu Abu Jahal berkata: " Wahai bani Ka'ab bin Luai! Mari ke sini". Maka orang2 kafir Quraisy berkumpul dan Rasulullah menceritakan apa yang berlaku. Ada yang bertepuk tangan dan ada yang meletakkan kedua2 tangan di kepala. Mereka melakukan demikian kerana kebingungan, hairan dan menunjukkan keingkaran. Mereka yang beriman tetapi mempunyai iman yang lemah telah murtad. Beberapa orang lelaki telah berjumpa Abu Bakar As-Siddiq. Maka Abu Bakar menjawab: "Sekiranya dia berkata demikian, maka dia telah berkata benar". Mereka bertanya: "Apakah kamu telah membenarkan apa yang diperkatakan itu?" Abu Bakar menjawab: "Bahkan, aku akan membenarkannya sekiranya dia menceritakan perjalanan yang lebih jauh daripada itu". Semenjak itu, Abu Bakar digelar As-Siddiq.

Cabaran dan bukti kebenaran
Orang2 kafir cuba menguji kebenaran kisah Rasulullah S.A.W. Mereka meminta baginda menyatakan sifat2 BaitulMaqdis kerana Rasulullah tidak pernah sampai ke sana pada pengetahuan mereka, dan ada di kalangan mereka yang telah pernah melihatnya. Lalu Allah menampakkan BaitulMaqdis kepada Baginda S.A.W. Dengan itu Rasulullah S.A.W. menyatakan sifatnya dari satu pintu ke satu pintu, dari satu tempat ke satu tempat. Mereka menjawab: " Sifat yang disebutkan adalah sifat2 yang benar ada pada BaitulMaqdis. Beritahu kami mengenai rombongan dagang kami yang datang dari Syam". Baginda S.A.W. memberitahu bilangan unta dan keadaan rombongan tersebut dan berkata: "Mereka akan sampai pada hari sekian ketika matahari terbit. Ia didahului oleh unta yang berwarna kelabu". Pada hari tersebut, mereka keluar melihat2 ke arah al-Thaniyyah*. Ada di kalangan mereka berkata:"Demi Allah matahari telah terbit". Yang lain pula berkata: " Demi Allah rombongan dagang telah sampai dan didahului unta kelabu seperti yang disebut Muhammad". Apa yang berlaku tidak menambahkan kepada mereka selain sikap takabbur dan keingkaran sehingga mereka berkata: "Ini adalah sihir yang nyata".

Tunjuk ajar sang murabbi
Pada hari tersebut (selepas Isra'), Jibril datang mengajar Rasulullah S.A.W. cara bersolat dan waktu2nya. Dengan itu, Rasulullah S.A.W. bersolat 2 rakaat apabila terbit fajar, 4 rakaat apabila gelincir matahari, 4 rakaat apabila bayang sesuatu objek menyamai objek tersebut, 3 rakaat apabila terbenam matahari dan 4 rakaat apabila hilangnya mega merah. Sebelumnya Rasulullah S.A.W. bersolat dengan cara Nabi Ibrahim A.S. iaitu 2 rakaat pada waktu pagi dan 2 rakaat pada waktu petang.

Pengajarannya:

Mari kita fikirkan bersama!


** Nota: Ada banyak riwayat menyebut tarikh berlakunya peristiwa Isra' Mi'raj, salah satunya adalah daripada Al- 'Alamah al Mansurfuri yang mengatakan bahawa ianya berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-10 kenabian.

Rujukan:
1) Kitab Sirah Nur Al-Yakin (Syeikh Muhammad al-Khudari Bik)
2) Ar-Raheeq Al-Makhtum (Syeikh Safy Ar-Rahman Mubarakfuriyy)

No comments: