Thursday, February 17, 2011

Definisi bahagia

Alam apabila dilihat dari tempat yang tinggi, sebenarnya dapat memperlihatkan kepada kita dimensi yang berbeza sekali berbanding tatapan datar seharian. Rasulullah SAW sendiri ke tempat yang tinggi (Gua Thur) kerana dari kemuncak yang tinggi tersebut, horizon kehidupan terbentang jelas di depan mata. Pagi yang cerah dan penuh kelembutan hari ini mengalu-alukan langkah saya ke universiti...puji-pujian kepada Pencipta langit biru yang tiada tandingannya berdendang di hati, niat juga saya kemaskan sepanjang perjalanan....semoga hari ini direzekikan ke atas saya ilmu dan progress yang baik dalam menulis thesis...


Kilauan matahari dan hembusan angin yang bertiup lembut hari ini menarik saya untuk ke balkoni tingkat teratas Adam's building...SubhanAllah....tak terucap rasanya perasaan di hati melihat keindahan alam ketika matahari baru saja mengintai di ufuk. Mata saya pejamkan pula untuk menikmati keindahannya dengan deria yang lain.....telinga menangkap desiran angin, kulit merasakan sentuhannya........dan perasaan yang luar biasa menjalar ke hati. Mata terasa bening dan jemari juga kemas tergenggam...manusia saya lihat kerdil sekali, persis patung-patung permainan lego, sedangkan gunung-ganang terpasak gagah, langit terbentang saujana mata memandang....lautan membiru dari kejauhan, kepulan awan juga begitu indah terlakar pada lukisan alam...

Ya Allah, seluruh tubuhku merasai keindahan alam ciptaanMu...
Seluruh keindahan yang terakam di mata menjalar terus ke hati, memberikan perasaan yang amat tenang....lapang....alangkah indahnya!
Senyuman terukir di bibir saya, meskipun bukan untuk sesiapa....
Kerana di pagi hari ini, saya merasai keindahan hidup bersama alam, kehebatan penciptaanNya.....dan inilah dia kebahagiaan!

'Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang berakal'

'(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): 'Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan semua ini sia-sia, MahaSuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka'

(Surah Al-Imran: 190 - 191)




Monday, January 31, 2011

Taklifan: Gerun!

Taklifan adalah sesuatu yang perlu digeruni, namun manusia hari ini amat berhajat dan berkehendak kepada pencalonan, pelantikan dan penamaan dirinya terhadap jawatan-jawatan. Ini semua kerana jawatan-jawatan tersebut bisa mengangkat tinggi namanya, menjadikan dia tersohor serta banyak pula wang ringgit yang mengalir ke poket bajunya.

Alangkah berbeza situasi di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Terketar, tertunduk sahabat apabila diangkat menjadi gabenor buat mentadbir dan menguruskan umat. Terasa seperti ingin menolak dengan sesungguhnya, hanya iman kepada Allah dan ketaatan kepada RasulNya menjadi pembenteng dan penguat semangat untuk memikul amanah berat tersebut.

Hari ini, manusia berlumba-lumba ingin menjadi wakil rakyat....tak tahukah dia, bahawa dia mewakili rakyatnya di akhirat nanti? berjayakah dia membawa rakyat yang diwakilinya itu kepada Allah? usah bicara rakyat yang belum beriman..rakyat yang mengakui Allah itu Tuhan, berjayakah dia mengajak mereka menjadi muslim sejati? Adakah dia berjaya mengembalikan rakyat ini kepada fitrah sebenar atau hanya menjayakan agenda Barat?

Itu belum lagi nak dijawab tentang rakyat yang tertindas, miskin melarat, tidak berilmu serta jahil, melakukan maksiat dengan sewenang-wenangnya...setiap kali celaan dan sumpahan keluar dari mulut rakyat yang tertindas, bagaimana harus dijawab di akhirat nanti?? mengapa bersorak riang apabila menang besar, mengangkat tangan dengan gah...bukankah baik diiringi dengan sujud kesyukuran kepada Allah, menitiskan airmata penuh keinsyafan dan ketakutan akan amanah berat yang bakal dilaksanakan...


Bukan kelompok mana yang menjadi isu sekarang, bukan juga tulisan berbaur politik menyokong sesiapa....sekadar meluahkan rasa hairan.....mengapakah manusia hari ini sesetengahnya dibutakan dengan kekuasaan sehingga sanggup menerima perkara yang begitu mengerunkan dengan penuh sombong mendabik dada? Bukankah Allah tidak suka orang2 yang menyombongkan diri di muka bumi?

Akhirul kalam, memetik kata2 akhir daripada Al-Fadhil Ustaz di dalam coretannya baru2 ini:

Du'atu mabadi' la huwatu hukmin - pejuang menegakkan prinsip bukan penggemar kuasa


Wallahu'alam

(Tahniah kepada pihak yang mendapat kepercayaan rakyat...kembalilah kepada Allah, dengar serta ambillah nasihat yang baik daripada orang2 yang berilmu, semoga dipimpin kepada jalan yang benar)

Sunday, October 10, 2010

my little grass ~

10.10.2010

Detik bersejarah. Dalam satu hari yang sama, dapat merasai warna-warni perasaan. Masih diruntun ujian. Keruh di hati makin terjelma, mendung dibawa ke mana2? Merenungkan diri, ujian dan jalan di hadapan. Masa untuk bangkit bukannya menyerah kalah. Tazkirah dari Allah tidak kira di mana2. Asalkan hati masih ingin mencari.



Perjalanan masih jauh rupanya. Waktu di alam ini makin singkat, sesingkat butiran pasir (jam pasir). Deras alirannya. Tidak mahu pertukaran ke alam seterusnya dalam keadaanku terkilan. Setelah sekian lama berusaha mendaki ke puncak. Tak mungkin kelelahan menjatuhkan ke lembah semula. Tidak!

Mencari2 kekuatan, mungkin masih belum bersungguh! Atau masih dalam tempoh ujian. Bersabarlah! Bukankan selalu diucapkan perkataan itu?

Strong wind blows, just wave the head,
When it stops, straighten the waist again,
In the storm, just bend and withstand it,
When the rain stops, hold up the head and stand upright.
Not afraid of wind, not afraid of rain,
determine to grow,
the little grass is not little at all.



Lihatlah kasih sayangNya!
Kekuatan dijelmakan buat yang mencari, dan terus ingin mencari. Jangan pernah putus asa, kerana itu jalan yang mudah tetapi sekali2 tidak dapat menembusi hakikat manusia yang mencari ketundukan serta ketenangan dan kedamaian.

Jzkk my little grass ~ I want to be able to grow without fear of wind or rain!


Sunday, September 26, 2010

tazkirah hati @ pagi Ahad


Dipetik daripada sebuah audio lama (penyampai Ustaz Zaidi dalam satu siri daurah di bumi kanggaroo) berkisar tentang Madrasah Hassan Al-Banna.

Antara ciri dakwah Ikhwanul Muslimin ialah bersifat Rabbani. Yakni Al-Imani yang merupakan perkara tonggak/asas dalam dakwah Ikhwan. Juga merupakan intipati kepada seruan dakwah Rasulullah S.A.W. iaitu ke arah mencapai kesejahteraan aqidah. Dakwah Ikhwan meyakini bahawa iman dapat digilap kembali seperti yang pernah dicapai oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat melalui keyakinan yang bulat di dalam hati, amal serta komitmen yang jitu dengan tarbiyah sebagai paksinya. Jadi, seruan dakwah ini bertujuan menghidupkan hati serta membangkitkan jiwa-jiwa manusia yang lesu. Menghidupkan hati ada 3 perkara:

1) Imunisasi hati - iaitu sepertimana kita mengambil imunisasi bagi mencegah sesetengah penyakit, perlu bagi hati memiliki imunisasi terhadap kecintaan kepada dunia

2) Makanan hati - memberi makan kepada hati adalah kemestian, melalui taqarubillah (mendekatkan diri kepada Allah) agar hati diikat kepada fitrahnya dan tidak dilekakan. Ini dapat dicapai melalui:
  • Iltizam as-sunnah (beriltizam dengan perkara2 sunnah) serta jauhi bidaah tercela
    • (Kisah Imam Hassan Al-Banna bersama Umar Al-Tilmisani - Keletihan yang amat dalam jaulah yang panjang dan keadaan keretapi kelas ke-3 yang tak selesa, tetapi tetap Imam Al-Banna seru Umar untuk bangun qiam)
  • Ihtimam bil-qaraid - serious/teguh dengan perkara2 fardhu
    • (Kisah Ustaz Mustafa Mashyur tetap mengagahkan diri solat berjemaah Asar meski baru lepas koma, dan koma lagi selepas solat sebelum kembali ke rahmatullah)
  • Targhib solatul-jamaah - semangat hidupkan solat jemaah
3) Rawatan hati - apabila hati sakit, perlu segera dirawat. Antara rawatan berkala adalah istighfar, zikir dan taubat

Apabila kita mengambil berat akan perihal hati, maka dapatlah kita melahirkan peribadi yang memiliki hati yang berhubung terus dengan Allah SWT. Iaitu hati yang hidup serta terlus. Dan hati ini tidak merasa keberatan dalam melaksanakan perintah Allah serta berjaya mencapai kondisi di mana ianya sentiasa berdenyut kerana Allah SWT.

*moga hatiku terus berdenyut keranaNya*
109A York Place, Dunedin New Zealand
Spring 2010

Tuesday, September 7, 2010

pesanan sang murabbi


Di akhir Ramadhan ini, sang murabbi seolah-olah berbicara kepada saya. Dan saya amat terkesan dengan bicaranya. Maka saya paparkan buat semua.

1. Ya ukhti, janganlah engkau hidup tanpa matlamat. Sesungguhnya Allah tidak menciptakanmu dengan sia-sia dan Dia tidak meninggalkanmu begitu saja

2. Ya ukhti, jadikan Allah itu matlamatmu. Dengarilah seruanNya yang bermaksud: 'Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu' (Az-Dzariyat: 50)

3. Ya ukhti, sesungguhnya apa yang kau bimbangi di dalam kehidupan ini hanya 2 perkara: rezekimu dan ajalmu. Dan tidak ada siapa yang dapat menentukan kedua-duanya untukmu kecuali Allah. Maka janganlah kebimbangan terhadap kedua-dua perkara itu menghalangmu daripada menegakkan kebenaran

4. Ya ukhti, sesungguhnya umat hanya akan maju dengan pengorbanan. Dakwah hanya akan tegak dengan kesetiaan. Sekiranya engkau hidup untuk umatmu maka berkorbanlah untuk kemajuannya. Dan sekiranya engkau yakin kepada dakwahmu maka berusahalah untuk setia kepadanya

5. Ya ukhti, janganlah engkau berkata apa yang engkau tidak buat. Janganlah engkau terpedaya sekiranya manusia menganggap engkau telah bekerja. Apa yang engkau perlu fikirkan ialah Allah mengetahui bahawa engkau benar-benar bekerja. Sesungguhnya manusia sekali-kali tidak dapat melindungimu daripada Allah

6. Ya ukhti, tiada seorangpun dari kalangan sahabatmu yang dapat bersama denganmu selain daripada di dunia ini. Namun di sana terdapat seorang sahabat yang akan sentiasa menemanimu di dunia ini dan di akhirat sana. Sahabat itu ialah amal soleh. Maka cubalah sedaya mampumu untuk menjadikannya sebagai sahabatmu setiap waktu. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: 'Hai Rasul-Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan' (Al-Mukminun: 51)

7. Ya ukhti, Allah melihat kepada hatimu. Maka berhati-hatilah. Jangan engkau kotori hatimu dengan perbalahan. Sesungguhnya perbalahan itu merupakan hijab di dunia dan azab di akhirat. Firman Allah bermaksud: '(iaitu) pada hari harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih' (Asy-Syuaraa': 88-89)

8. Ya ukhti, berusahalah untuk yakin kepada fikrahmu sehingga ke tahap segala cita-cita dan usahamu tunduk kepadanya. Dengarilah firman Allah Taala bermaksud: 'Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar' (At-Taubah: 119)

9. Ya ukhti, ketika engkau berusaha untuk mencapai matlamat, engkau mesti yakin kepada 2 perkara iaitu, engkau akan berjaya dan melaksanakan apa yang diwajibkan ke atasmu. Seandainya perkara pertama tidak sempat engkau raih, engkau tidak terlepas perkara kedua. Firman Allah bermaksud: 'Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: 'Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?' Mereka menjawab: 'Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa' (Al-A'raf: 164)

10. Ya ukhti, engkau pasti akan mati. Makan jadikanlah kematianmu di jalan Allah. Sesungguhnya kemusnahan dalam menegakkan kebenaran itulah sebenar-benar keabadian. Sesungguhnya pada hari engkau gugur syahid engkau memperolehi kemuliaan, ganjaran, keabadian dan kehidupan. Pada masa yang sama engkau tidak rugi suatu apapun selama-lamanya. Firman Allah bermaksud: 'Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki' (Al-'Imran: 169)


Dari murabbimu,
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna
Akhbar Mingguan Ikhwan Muslimin, thn ke 4, bil 34, Disember 1936